'Sukar MU calar rekod tanpa kalah JDT'

Prestasi konsisten dan peningkatan permainan setiap individu pemain JDT yang bakal menjadi senjata utama bagi mengecewakan skuad Hang Tuah. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
MELAKA: Bekas kapten Melaka dan Johor, Azmil Azali meramalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super apabila berdepan Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat, malam esok.
Sambil menjangkakan cabaran sengit daripada skuad tuan rumah, Azmil tetap berkeyakinan pelawat bakal pulang ceria dengan mata maksimum sekali gus memperkukuhkan status mereka sebagai calon utama kejuaraan.
Kata Azmil, telahannya adalah berdasarkan prestasi konsisten dan peningkatan permainan setiap individu pemain JDT yang bakal menjadi senjata utama bagi mengecewakan skuad Hang Tuah.
“Momentum kemenangan dalam jiwa pemain sentiasa menjadi azimat buat skuad kendalian Luciano Figueroa yang mahu bermati-matian mengelak kekalahan pertama daripada berlaku.
“Malah ia juga kesempatan terbaik buat pelawat untuk tidak menunggu sehingga perlawanan terakhir bagi mengesahkan kejuaraan keenam pada musim ini,” katanya.
Begitupun, Azmil berkata anak buah jurulatih Zainal Abidin Hasan pasti berusaha habis-habisan untuk mengejutkan barisan JDT terutamanya jika timbul kealpaan dalam tempoh 90 minit permainan.
Baginya, rekod pertemuan yang memihak kepada Harimau Selatan 2-1 di Larkin pada pusingan pertama turut mampu menjadi taruhan buat MU berdasarkan jaringan di gelanggang lawan untuk bertindak cemerlang kali ini.
Malah kehadiran bekas perancang utama JDT, Safiq Rahim selain Nazrin Nawi mampu menggugat kelebihan pelawat selain sokongan padu peminat setia tuan rumah.

Ulasan