STADIUM SULTAN IBRAHIM BAKAL JADI STADIUM TERCANGGIH DI ASIA TENGGARA, SIAP DISEMBER INI
Satu perkara yang dinanti-nantikan oleh penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan peminat bola sepak Malaysia telah disentuh oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Ia adalah berkaitan stadium baharu JDT, Stadium Sultan Ibrahim.
Baginda berkata stadium itu akan siap pada bulan Oktober ini, namun akan dilewatkan sehingga sekitar Disember tahun ini. Sebab baginda tidak mahu kerja yang tergesa-gesa untuk siapkan segera dan memberi masa stadium itu menyelesaikan perkara-perkara terperinci. Baginda tidak mahu mereka nanti membuat kesilapan-kesilapan jika mahu siap dengan segera.
Stadium Sultan Ibrahim itu disasarkan akan digunakan pada bulan Februari 2020. Ketika itu dijangka akan berlangsung Piala Sumbangsih atau pembuka tirai Liga Super Malaysia 2020.
Selepas beberapa perlawanan itu pula stadium itu akan digunakan untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL 2010) peringkat kumpulan sekiranya JDT menjuarai Liga Super 2019.
Juara Liga Super 2019 akan secara automatik melayakkan diri ke peringkat kumpulan ACL 2020. Kelebihan ini diberi kerana kedudukan Malaysia berada di tangga keenam terbaik bagi Zon Asia Timur. Ranking tersebut diambil kira pada Disember 2018 dan digunapakai untuk tahun 2019 dan 2020.
Stadium Sultan Ibrahim ini juga akan menjadi stadium yang tercanggih di rantau Asia Tenggara dalam erti kata sebuah stadium khusus untuk bola sepak. Dan jika boleh rantau Asia.
Stadium itu juga akan dilengkapi oleh restoran, bilik untuk ‘games’, ruang untuk membeli belah, beberapa lokasi untuk bergambar, jelajah stadium, bilik korporat (sudah habis dijual), bilik untuk media yang berkualiti tinggi dan lain-lain lagi.
Ia nanti akan menjadi satu kebanggaan bagi kelab (JDT) dan para penyokong JDT.
Baginda juga turut menyatakan rumput khas yang akan digunakan iaitu yang diberi nama Zoysia Zeon, yang diimport dari Jepun.
Sama-samalah kita tunggu kehadiran stadium baharu JDT yang akan menjadi kebanggaan kita nanti. Namun tidak cukup dengan hanya berbangga sahaja. Kita juga perlu memainkan peranan. Banyak cara kita boleh memberi sumbangan iaitu salah satunya sama-sama menghadiri seberapa banyak perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim dengan semangat cintakan stadium kita.
Sesungguhnya kita merasa amat bertuah mempunyai DYAM TMJ yang begitu komited dengan bola sepak dan penyatuan rakyat Johor melalui medium bola sepak.
Letak dan biarkan pihak pengurusan JDT jalankan tugas mereka dan kita menyokong dari belakang apa perancangan mereka.
Disertakan juga progres penanaman rumput yang telah dikemaskini sebulan lepas oleh Southern Corridor Malaysia
Baca juga : Progres Penanaman Rumput Stadium Sultan Ibrahim
Foto Kredit : JOHOR Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan