Sathia 'panas telinga' kena maki hamun

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan kecewa dengan sikap segelintir penyokong pasukan itu yang mengeluarkan kata-kata `lucah' dan kesat terhadap dirinya selepas skuad bimbingannya tewas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Beliau berkata, ketika berjalan masuk ke bilik persalinan ada segelintir penyokong Selangor yang berada di grandstand memaki hamun kepadanya dan ia tidak sepatutnya berlaku tatkala barisan pemain pasukan itu sudah beri persembahan terbaik namun terpaksa akur tewas tipis dalam perlawanan itu.
"Saya kesal apabila ada perkataaan ‘lucah' daripada penyokong Selangor.


Sepatutnya ia tidak boleh berlaku malah mereka datang ke stadium dengan keluarga tetapi boleh mengeluarkan kata-kata kesat.
"Gunalah akal dan jangan kerana kecewa maka perkataan `lucah' dan kesat dilemparkan kepada saya dan pemain Selangor.
Saya sendiri tidak faham kenapa mereka sanggup mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya dan mereka duduk di grandstand. Sepatutnya penyokong yang duduk di situ bersikap profesional," katanya.
Mengulas mengenai kegagalan skuad The Red Giants mencipta kemenangan dalam perlawanan liga itu, Sathianathan mengakui barisan pemainnya sudah memberi tentangan sengit kepada JDT namun nasib tidak menyelebahi pasukannya.
Katanya, peluang yang terhidang terutama di awal babak pertama apabila Endrik Parafita yang hanya berdepan penjaga gol JDT, Farizal Marlias gagal disudahkan dengan jaringan dan senario itu jelas mengecewakan.
Beliau menambah akibat kegagalan mencipta jaringan pada awal perlawanan menyaksikan JDT pantas mengambil kesempatan untuk menjaringkan dua gol pantas menyebabkan pemain Selangor bagaikan berada dalam tekanan.
"Bukan kita tidak ada peluang tetapi mereka gagal menterjemahkan dengan jaringan.
Jika kita tidak gunakan peluang yang ada ketika menentang JDT, memang sukar untuk menang dan jika kita jaringkan gol awal mungkin cara permainan kita berbeza.
"Kita datang ke Larkin untuk sekurang-kurangnya mencari satu mata.
Namun kita ketinggalan 0-2 dan kemudian cuba bangkit menerusi jaringan Khiyril (Muhymeen) tetapi ketinggalan lagi dan pada babak kedua kita bangkit beri tentangan.
"Kad merah yang dilayangkan kepada K Sarkunan lebih parah buat kami apabila beraksi dalam tekanan.
Apapun banyak lagi kerja yang perlu saya lakukan sebelum menentang Pahang.
Ditambah pula dengan ketiadaan Taylor (Regan) yang tidak akan beraksi menentang Pahang dan perlu bersedia untuk bangkit pada aksi seterusnya," kata Sathianathan.

Ulasan