Sathia kesal dicemuh penyokong Selangor

Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan. - Foto Rasul Azli Samad




JOHOR BAHRU: Pengendali Selangor, B Sathianathan kecewa dengan sikap segelintir penyokong pasukan itu yang mengeluarkan kata-kata ‘lucah’ dan kesat terhadap dirinya selepas skuad bimbingannya tewas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, semalam.
Beliau berkata, ketika berjalan masuk ke bilik persalinan ada segelintir penyokong Selangor di grandstand memaki hamun dirinya dan ia tidak sepatutnya berlaku tatkala barisan pemain pasukan itu sudah memberi persembahan terbaik namun terpaksa akur tewas tipis dalam perlawanan itu.
"Saya kesal apabila ada perkataaan `lucah' daripada penyokong Selangor. Sepatutnya ia tidak boleh berlaku malah mereka datang ke stadium dengan keluarga tetapi boleh mengeluarkan kata-kata kesat.
"Gunalah akal dan jangan kerana kecewa maka perkataan `lucah' dan kesat dilemparkan kepada saya dan pemain Selangor. Saya sendiri tidak faham kenapa mereka sanggup mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya dan mereka duduk di grandstand. Sepatutnya penyokong yang duduk di situ bersikap profesional," katanya.
Mengulas mengenai kegagalan skuad The Red Giants untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan liga, semalam, Sathianathan mengakui barisan pemainnya sudah memberi tentangan sengit kepada JDT namun nasib tidak menyelebahi pasukannya.
Katanya, peluang yang terhidang terutama di awal babak pertama apabila Endrik Parafita yang hanya berdepan penjaga gol JDT, Farizal Marlias gagal disudahkan dengan jaringan dan senario itu jelas mengecewakan.
Beliau menambah akibat kegagalan mencipta jaringan pada awal perlawanan menyaksikan JDT pantas mengambil kesempatan untuk menjaringkan dua gol pantas menyebabkan pemain Selangor bagaikan berada dalam tekanan.

Ulasan