Langkau ke kandungan utama

Sathia berang dimaki lagi

B. SATHIANATHAN
B. SATHIANATHAN
KUALA LUMPUR - Pengendali Selangor, B. Sathianathan kecewa dengan sikap segelintir penyokong pasukan itu yang mengeluarkan kata-kata ‘lucah’ dan kesat terhadap dirinya selepas pasukannya tewas tipis 2-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.
Jelasnya, ketika berjalan masuk ke bilik persalinan ada segelintir penyokong Selangor di grandstand memaki hamun dirinya dan ia tidak sepatutnya berlaku setelah anak buahnya memberi persembahan terbaik walaupun gagal membawa pulang mata.
“Saya kesal apabila ada perkataan ‘lucah’ daripada penyokong Selangor. Sepatutnya ia tidak boleh berlaku malah mereka datang ke stadium dengan keluarga tetapi boleh mengeluarkan kata-kata kesat.
“Gunalah akal dan jangan kerana terlalu kecewa maka perkataan ‘lucah’ dan kesat dilemparkan kepada saya dan pemain Selangor.
“Saya sendiri tidak faham kenapa mereka sanggup mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya dan perkataan itu daripada mereka yang duduk di grandstand. Sepatutnya penyokong yang duduk di situ bersikap profesional.
“Jika anda mahu Selangor muncul juara, sila beri peruntukan RM60 hingga 70 juta,” katanya.
Mengulas mengenai kegagalan skuad Red Giants untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan liga, semalam, Sathianathan mengakui barisan pemainnya sudah memberi tentangan sengit kepada tuan rumah namun nasib tidak memihak kepada pasukannya.
Tambahnya, peluang yang terhidang terutama di awal babak pertama apabila Endrick dos Santos yang hanya berdepan penjaga gol JDT, Farizal Marlias gagal disudahkan dengan jaringan.
“Kalau berdepan dengan JDT, jika gagal mengambil peluang maka sukar. Kami datang sini untuk cari satu mata sekurang-kurangnya.
“Kad merah (K. Sarkunan) lagi parah, kualiti JDT kita nampak, saya puji kebangkitan pemain bangkit merapatkan kedudukan,” jelasnya.
Beliau menambah akibat kegagalan mencipta jaringan pada awal perlawanan menyaksikan JDT pantas mengambil kesempatan untuk menjaringkan dua gol pantas menyebabkan pemain Selangor bagaikan berada dalam tekanan. - UTUSAN ONLINE

Ulasan