MISI TIGA MATA MUTLAK HARIMAU SELATAN

MISI TIGA MATA MUTLAK HARIMAU SELATAN
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akan memastikan langkah cemerlang dapat diteruskan dalam saingan Liga Super Malaysia 2019. Setakat 16 perlawanan yang telah dilalui, JDT berjaya mencatatkan 12 kemenangan dan empat keputusan seri.
Skuad Harimau Selatan juga dilihat berjaya mempamerkan prestasi lebih menyakinkan apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
1. CABARAN GERGASI MERAH
Perlawanan berikutnya, JDT akan melayani kunjungan pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super Malaysia iaitu Selangor pada 19 Jun 2019. Paling menarik tentang perlawanan ini adalah ia merupakan perlawanan tunggal JDT bertempur di halaman sendiri pada bulan Jun 2019.
Imbas kembali 1 Mac 2019 yang lalu, ketika pusingan pertama Liga Super Malaysia 2019 berlangsung JDT telah turun beraksi selaku pasukan pelawat ketika bertemu Selangor FA di Stadium Shah Alam.
Strategi dan taktikal yang telah direncana oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan berjaya diadaptasi dengan cemerlang oleh para pemain. Keputusan mutakhir, Harimau Selatan berjaya menewaskan pasukan legenda Selangor dengan jaringan dua berbalas empat.
Pada perlawanan itu juga, pemain import JDT Leanadro Velazquez telah membuat penampilan kali pertama dan berjaya menjaringkan dua gol, manakala Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera pula berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring setelah masing-masing berjaya menjaringkan satu gol lantas memastikan tiga mata penuh berjaya di bawa pulang.
2. STADIUM KERAMAT
Umum mengetahui bahawa Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin telah menyumbangkan 24 mata hasil dari lapan perlawanan pada musim ini. Ia merupakan hasil dari kemenangan total skuad Harimau Selatan di halaman sendiri.
Oleh itu, menjelang perlawanan bertemu Selangor, rekod ini akan menjadi pemacu semangat lantas menambah lebih keyakinan dan motivasi dalam diri pemain untuk terus berjuang dan mempertahankan rekod cemerlang di halaman sendiri.
3. MISI PENTING
JDT perlu menewaskan pihak lawan bagi melebarkan jurang kutipan mata dan kekal memperkukuhkan cengkaman pada kedudukan takhta liga. Sudah pasti ianya suatu tugas getir namun keseluruhan pemain JDT akan tampil beraksi dengan penuh motivasi, keazaman, semangat dan komitmen yang amat tinggi serta agresif dalam memburu kemenangan demi kemenangan dalam baki saingan Liga Super Malaysia musim ini.
4. TIDAK MEMANDANG RENDAH
Walaupun berada pada kedudukan mata yang jauh meninggalkan pencabar tempat kedua juga ketiga, JDT tidak boleh mendabik dada hingga mengakibatkan konsentrasi tersasar. Halangan dan cabaran getir buat Harimau Selatan akan sentiasa wujud selagi kejuaraan liga belum dimuktamadkan.
Hanya konsistensi, tawakal, usaha, sokongan tanpa prejudis penyokong dan motivasi dari DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang akan melonjakkan keyakinan diri pejuang Harimau Selatan. Tidak boleh disangkal bahawa JDT tidak akan diberi laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali keenam.
5. SOKONGAN YANG SENTIASA DITAGIH
Perlawanan menentang pasukan sehebat Selangor memerlukan sokongan luar biasa dari penyokong Harimau Selatan. Semoga semangat itu dapat diseru demi menghadirkan gelombang ‘Sorakan Larkin’ supaya berkuasa mendominasi atmosfera stadium keramat ini untuk memberi tekanan sepanjang 90 minit perlawanan kepada pasukan pelawat.
Akhir kata, semoga para pejuang Harimau Selatan berjaya memastikan langkah unggul dalam perjalanan mengimplementasikan misi menakluk takhta liga buat sekian kalinya pada musim ini dapat direalisasikan. Merah Tak Kabur, Biru Tak Luntur. Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Imej

Ulasan