KUALA LUMPUR - Selepas menjulang gelaran hatrik berganda juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) kini mengalihkan tumpuan kepada misi menamatkan saingan musim ini dengan rekod kebal tanpa kalah, sekali gus menjadi satu-satunya pasukan yang melakukannya sebanyak dua kali dalam Liga Malaysia.
Harimau Selatan sebelum ini pernah mencatat pencapaian hebat tersebut apabila menamatkan saingan pada musim 2016 tanpa sebarang kekalahan ketika dibimbing pengendali kelahiran Argentina, Mario Gomez.
Bagaimanapun, pengurus JDT, Luciano Figueroa kini percaya anak-anak buahnya berpotensi untuk mengulangi pencapaian yang sama dengan mensasarkan kemenangan penuh pada baki empat perlawanan liga musim ini.
“Kami telah bermain dengan baik sepanjang musim dan layak untuk bergelar juara Liga Super tahun ini. Saya percaya jika barisan pemain mengekalkan rentak yang sama tidak mustahil rekod unbeaten (tanpa kalah) dapat direalisasikan,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Figueroa ditemui selepas menyaksikan anak-anak buahnya mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut dengan menewaskan Melaka United 2-1 dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka kelmarin.
Mengulas mengenai aksi tersebut, Figueroa percaya semua pemainnya telah memberi fokus sepenuhnya bagi memastikan mereka membawa pulang tiga mata walaupun diberi tentangan sengit oleh pasukan tuan rumah khususnya di penghujung perlawanan.
“Kami berhak untuk menang pada perlawanan kali ini yang mana pemain kami telah mencipta banyak peluang jaringan selain menguasai sebahagian besar perlawanan. Saya sangat gembira kami dapat mengesahkan kejuaraan liga pada malam ini (kelmarin),” jelasnya.
Kejuaraan Liga Super yang diraih pasukan Harimau Selatan itu juga telah mengesahkan status mereka untuk beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali kedua berturut-turut pada saingan musim depan.
Ulasan
Catat Ulasan