Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Newton Sight, Manchester United berada di kedudukan pertama dikalangan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) di media sosial.
Kajian tersebut melibatkan 20 kelab EPL berdasarkan lapan perkara termasuk saiz taburan penyokong (fanbase), kadar pertumbuhan taburan penyokong dan juga hubungan interaksi yang berlaku di akaun media sosial setiap 20 kelab.
Manchester United berada di kedudukan teratas dengan jumlah 91 juta penyokong di Facebook dan akaun Twitter. Akaun You Tube yang baru dilancarkan pula berjaya menarik 1.3 juta pengikut sejak Februari sehingga Disember tahun lalu.
Manchester City tarik perhatian
Seteru setempat kepada United, Manchester City pula merekodkan pertumbuhan terbesar di kalangan 20 kelab apabila merekodkan lebih separuh dari pertumbuhan keseluruhan di EPL. Musim lalu sahaja City berjaya menarik lebih 7 juta pengikut baharu – walaupun gagal memberikan impak di eropah.
Pertumbuhan memberangsangkan pengikut ataupun penyokong oleh Manchester City berbanding kelab-kelab lain di EPL bukan perkara yang menghairankan mengambil kira bagaimana mereka melabur untuk menjadikan jenama kelab dikenali secara meluas di seluruh dunia.
Kebanyakan pengikut baharu di Facebook kedua-dua kelab Manchester ini datangnya daripada negara-negara Afrika dan Asia.
Facebook masih paling popular
Secara keseluruhan kelab EPL menarik 2.7 juta billion interaksi di pelbagai platform media sosial sepanjang 2018 yang lalu. Ia turut merekodkan pertumbuhan 13%, dengan purata 140,000 pengikut baharu setiap hari dari seluruh dunia.
Facebook terus menjadi platform paling popular di kalangan pengguna/penyokong untuk kelab EPL di peringkat global, walaupun Instagram kini turut menjadi trend terbaru untuk pengguna malakukan interaksi dengan kelab kesayangan masing-masing. Malah Instagram kini menjadi pilihan kedua, selepas Twitter.
Pihak kelab turut meraih keuntungan hasil interaksi secara global di media sosial. Burnley misalnya merekodkan pertumbuhan 100,000 pengikut baharu dari China selepas pelancaran Sina-Weibo sebagai platform media sosial mereka.
Mengulas laporan tersebut, Pengarah Newton Sight Philip Lynch berkata: “Media sosial adalah kritikal untuk mencapai cita-cita kelab bola sepak di peringkat global, dan kini kita boleh melihat perubahan penting bagaimana penyokong berinteraksi dengan kelab masing-masing.
“Berita baiknya pula ialah respon dari penyokong secara global semakin meningkat naik. Namun kini penyokong mulai mengubah interaksi dari Facebook kepada Instagram dan juga You Tube.”
Keuntungan hasil komersil vs jumlah pengikut media sosial
Sejak September 2014, jumlah keseluruhan pengikut media sosial di sepuluh kelab bola sepak paling popular di Facebook, Instagram dan Twitter telah meningkat sebanyak 70%, sekali gus menggariskan kepentingan platform media sosial menghubungkan entiti sukan dengan penyokong mereka dari seluruh dunia.
Media sosial menghubungkan setiap kelab dengan penyokong mereka tanpa mengira faktor geografi. Ini adalah penjelasan mengapa Manchester City beroperasi menggunakan lebih daripada sepuluh bahasa utama dunia.
Malah akaun twitter Bahasa Arab milik Real Madrid, mampu menarik sehingga 8.66 juta pengikut sehingga ke hari ini. Secara keseluruhan, Real Madrid dan Barcelona masing-masing telah menarik lebih daripada 65 juta pengikut sejak dua musim terakhir.
Paris Saint-Germain (134%), Bayern Munich (165%), dan Juventus (108%) turut tidak ketinggalan mendatangkan peningkatan pengikut media sosial setelah berjaya mendominasi saingan domestik dan berjaya layak ke peringkat kalah mati saingan UEFA Champions League (UCL) sejak beberapa musim.
Berdasarkan carta di bawah, media sosial telah menarik minat kelab-kelab bola sepak utama dunia untuk menjana keuntungan.
Secara keseluruhan, industri bola sepak pada hari ini menunjukkan jumlah peningkatan dari segi keuntungan hasil dari strategi pemasaran komersil bagi kelab-kelab bola sepak global.
Berdasarkan laporan kewangan untuk musim 2013-14, dan juga 2014-15, Bayern Munich, Juventus dan Paris Saint-Germain merekodkan sedikit penurunan dari segi pendapatan komersil.
Namun jika diperhatikan Barcelona pada musim 2014-15, gergasi Catalan ini mencerminkan kejayaan jumlah pengikut di media sosial kepada nilai pendapatan komersil kelab berkenaan.
Ini mungkin disumbangkan oleh kejayaan di atas padang (kejuaraan UCL), sekaligus membantu Barcelona meningkatkan pendapatan hasil komersil sebanyak 34% (€207 juta kepada €278 juta), melebihi jumlah peningkatan 31% pengikut di media sosial (105 juta kepada 138 juta).
Walaupun rata-rata kelab bola sepak dunia mencatatkan keuntungan dari segi hasil komersil selari dengan peningkatan jumlah pengikut di media sosial, perbezaan nilai pendapatan beberapa kelab bola sepak yang mempunyai ramai pengikut harus dikaji semula secara lebih mendalam.
Ini adalah kerana beberapa kelab lain turut mempunyai sumber keuntungan yang berlainan, seperti suntikan kewangan hasil dari pemilikan kelab dan sebagainya, yang tidak berkait langsung dengan kaedah pemasaran secara komersil.
Dengan pengecualian kelab seperti Barcelona, Liverpool dan Arsenal, beberapa kelab pula menunjukkan penurunan dari segi jumlah pengikut di media sosial, namun mencatatkan peningkatan keuntungan.
Ini bermakna peningkatan hasil keuntungan komersil tidak semestinya berpaksi kepada jumlah pengikut di media sosial semata-mata, namun kejayaan di dalam padang turut menjadi salah satu faktor penentu.
Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada corak graf sebegitu ialah tempoh perjanjian komersil oleh kelab, keupayaan pengurusan kelab melakukan rundingan dengan penaja berpotensi, demografik pengikut di media sosial, dan juga kerana pengikut yang sama memiliki rangkaian platform media sosial yang berbeza.
Sebagai contoh, Manchester City, PSG dan Bayern Munich mencatatkan purata keuntungan yang lebih baik untuk setiap pengikut di media sosial, disebabkan operasi komersil kelab-kelab ini didukung oleh nilai tajaan yang besar, atau pun oleh kekuatan komersil di pasaran tempatan yang kukuh.
Ini bermakna peningkatan hasil keuntungan komersil tidak semestinya berpaksi kepada jumlah pengikut di media sosial semata-mata, namun kejayaan di dalam padang turut menjadi salah satu faktor penentu.
Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada corak graf sebegitu ialah tempoh perjanjian komersil oleh kelab, keupayaan pengurusan kelab melakukan rundingan dengan penaja berpotensi, demografik pengikut di media sosial, dan juga kerana pengikut yang sama memiliki rangkaian platform media sosial yang berbeza.
Sebagai contoh, Manchester City, PSG dan Bayern Munich mencatatkan purata keuntungan yang lebih baik untuk setiap pengikut di media sosial, disebabkan operasi komersil kelab-kelab ini didukung oleh nilai tajaan yang besar, atau pun oleh kekuatan komersil di pasaran tempatan yang kukuh.
Berdasarkan laporan KPMG, satu perkara yang menarik perhatian kami ialah bagaimana kelab seperti Juventus dan Liverpool yang mencatatkan jumlah pengikut yang lebih sedikit, namun mempunyai peratusan keuntungan yang lebih besar berbanding kelab seperti Barcelona dan Real Madrid.
Tidak dapat dipastikan impak yang dilalui oleh Liverpool setelah muncul juara Eropah buat kali ke-6 pada musim lalu. Ianya pasti menarik untuk diperbincangkan sekiranya data terbaru boleh diperolehi.
JDT pencetus di Liga Malaysia
Di pentas bola sepak Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah kelab bola sepak yang mempunyai pengikut teramai di platform media sosial Facebook.
Sehingga ke hari ini, JOHOR Southern Tigers, akaun Facebook milik kelab bola sepak di selatan tanah air tersebut mempunyai lebih daripada 2.1 juta pengikut dari dalam dan juga luar negara.
Secara keseluruhan pula, JDT mempunyai 2.8 juta komuniti digital merentasi pelbagai platform sekaligus diiktiraf sebagai yang paling berpengaruh di Malaysia dan keempat di Asean selepas Persib Bandung, Persija Jakarta, dan Muangthong United.
Laporan beraudit daripada digitale-sport-medien untuk 2018 mengesahkan bahawa JDT kini muncul antara kelab yang mempunyai tarikan bukan hanya di peringkat domestik malah ke peringkat antarabangsa.
FA Selangor semakin agresif
Selain daripada JDT, beberapa buah pasukan dari Liga Malaysia juga tampak semakin agresif dalam melakukan interaksi bersama penyokong-penyokong mereka dari seluruh negara.
FA Selangor misalnya, tampil dengan pelbagai idea futuristik yang jauh lebih segar daripada sebelum ini merentasi pelbagai jenis platform media sosial yang mereka miliki. Tidak ketinggalan ialah Pahang FA, dan Terengganu FC yang seringkali tampil dengan infografik menarik untuk penyokong-penyokong mereka.
Rumusan
Cabaran utama di dalam apa jenis perniagaan termasuk di dalam industri bola sepak ialah untuk mencari kaedah terbaik untuk mengukur kepentingan dan peranan yang media sosial boleh mainkan.
Hari ini, media sosial bukan sahaja medium interaktif yang pantas. Lebih daripada itu, media sosial telah menjadi sejenis bentuk aset digital untuk mengisi kantung kewangan kelab bola sepak.
Ulasan
Catat Ulasan