Langkau ke kandungan utama

Lupakan Liga Super, ia milik JDT


Fasiliti, kewangan kena kukuh - Sathianathan

PEMAIN JDT meraikan jaringan  Leandro  Velazquez ketika menentang

KUALA LUMPUR - Biarpun Liga Super masih berbaki lima perlawanan, namun pe­ngendali Sela­ngor, B. Sathianathan percaya, Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya menunggu masa untuk di­nobat sebagai juara kali keenam berturut-turut.
Bekas jurulatih kebangsaan itu turut menasihatkan pasukan lain supaya mula memikirkan perancangan menghadapi musim 2020, selain cuba mencabar Piala Malaysia yang akan menjadi penutup tirai Liga Malaysia (Liga M).
Selepas mengharungi 17 perlawanan musim ini, JDT mengungguli Liga Super de­ngan 43 mata, 13 mata meninggalkan pasukan tangga kedua, Pahang yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Selangor yang kalah 2-3 kepada dalam aksi di Larkin semalam menghuni tangga kelima de­ngan 25 mata, satu mata di belakang Kedah dan Melaka Uni­ted.
“Untuk pasukan lain mencabar JDT dalam kejuaraan liga musim ini mungkin misi mustahil kerana jurang mata sangat jauh dan mereka hanya perlukan dua kemenangan untuk bergelar juara.
“Tapi bagi persaingan tempat ke­dua, ketiga dan keempat masih terbuka. Untuk sasaran peribadi, saya mahu Selangor ber­ada di kedudukan ketiga musim ini.
“Jika kita lihat tiga musim sebelum ini, Selangor gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik, jadi dapat ber­ada di tangga ketiga adalah kedudukan terbaik.
“Sasaran Piala Malaysia, saya mahu ke final,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Harimau Selatan hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk mengekalkan trofi Liga Super di Johor, bagaimanapun mereka perlu bertandang ke ke tempat lawan dalam tiga daripada lima baki saingan.
Ditanya apakah yang perlu dilakukan Selangor atau pasukan lain untuk menyekat JDT daripada merangkul trofi ketujuh musim depan, Sathianathan mengakui, fasaliti terbaik antara faktor penting, selain sumber kewangan kukuh.
“Saya juga menyambut baik cadangan YB Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor) mahu memberi tumpukan kepada satu pasukan utama dan pasukan lain menjadi ‘feeder’ (kelab pembangunan).
“Dana disalur kepada satu pasukan sahaja bagi membentuk skuad terkuat. Untuk mencabar JDT, semua pasukan perlu membuat pelaburan besar kepada pasukan utama, fasiliti dan teknikal.
“Selangor tidak ketinggalan jauh dan mampu mencapainya, perubahan mula dilihat sejak di bawah pimpinan RMS (Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuiddn Idris Shah),” jelasnya.

Ulasan