MELAKA: “Selepas mencatat sejarah berkenaan, pastinya rekod bersih tanpa kalah juga ingin dikekalkan, sekali gus melakar keceriaan berganda buat penyokong setia,” kata pemain senior Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yang menzahirkan kepuasan tidak terhingga selepas membantu JDT menjulang kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut.
Walaupun menang tipis 2-1 menewaskan Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin, ia sudah cukup buat skuad terbabit kekal unggul tanpa mampu dicabar mana-mana lawan sepanjang enam musim.
Baginya, ia ada antara memori terindah yang berjaya diukir sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sejak 2012, walaupun turut mencatat banyak kejayaan lain sepanjang penyertaannya.
Namun, baginya bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan keenam berkenaan berikutan terpaksa melalui ujian getir dan saingan sengit semua lawan dalam tempoh terbabit.
“Apapun, kali ini pastinya kami turut berjaya memenuhi perancangan sejak pramusim untuk memastikan kejuaraan terus menjadi milik JDT.
“Kejayaan peribadi ini juga sebagai hadiah kepada seluruh rakyat Johor dan pastinya juga kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menjadi tulang belakang buat skuad Harimau Selatan,” katanya.
Bagaimanapun, dia dan semua rakan sepasukan tetap fokus pada baki empat perlawanan berikutan saingan masih belum berakhir.
Ulasan
Catat Ulasan