PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) merampas kembali tangga teratas Liga Perdana daripada Sabah selepas menewaskan UiTM FC 2-0 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.
Begitupun kedudukan teratas liga yang dikuasai JDT II kekal selepas mengumpul 33 mata akan bergantung kepada aksi Sabah menentang Sarawak, malam esok.
Jika skuad kendalian Jelius Ating menang, maka pasukan itu kembali melonjak ke tangga teratas liga.
Pada aksi berkenaan, percubaan awal tuan rumah pada minit kelima gagal disudahkan Nicolas Fernadez selepas menerima bola umpanan Syazwan Andik Ishak apabila merembat bola leret biarpun berada di dalam kotak penalti namun tidak mengundang cemas buat pelawat.
Asakan berterusan JDT II masih belum mampu menerbitkan keceriaan di kem pasukan itu apabila bola sepakan percuma Fernandez yang berjaya ditanduk Bruno Soares sekadar sipi daripada gawang gol ketika penjaga gol pelawat, Nor Haziq Mohd Aris sudah tertewas.
Di sebalik serangan bertali arus tuan rumah, pelawat juga memiliki peluang beri tekanan kepada skuad kendalian Ervin Boban selepas bola sepakan percuma kapten Zarko Kovac gagal ditangkap kemas penjaga gol, Haziq Nadzli yang terpaksa mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Berbaki 15 minit babak pertama, kedua-dua pasukan mula memperlahankan rentak permainan apabila kerap berlegar di kawasan tengah padang dan langsung tidak memberi tekanan terhadap benteng pertahanan.
Tempoh seminit babak kedua bermula diperlukan tuan rumah untuk membuka tirai jaringan selepas bola sepakan lintang Fazly Mazlan ditanduk kemas Ramadhan Saifullah Usman menewaskan Nor Haziq untuk mendahului 1-0.
Skuad Merah Biru bagaikan belum berpuas hati dengan jaringan tunggal itu apabila mengasak benteng pertahanan pelawat menerusi gerakan di posisi sayap kiri dan kanan sambil Mohamad Ghaddar menjadi taruhan untuk menambah gol.
Gerakan solo Syazwan Andik yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti pada minit ke-57 hampir menambah jaringan buat tuan rumah namun Nor Haziq bertindak pantas untuk menampan bola.
Bagaimanapun Nor Haziq terpaksa akur dengan kehebatan JDT II apabila tewas buat kali kedua pada minit ke-59 selepas Ghaddar bijak memusingkan badannya sebelum melepaskan rembatan yang menerjah jaring untuk meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 2-0.
Ketika aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Park Yong-jun dilayangkan kad merah oleh pengadil Suhaizi Shukri berikutan tindakannya menentang Fernandez.
Ulasan
Catat Ulasan