KUNJUNGAN Johor Darul Ta'zim (JDT) ke Stadium Manjung, Perak untuk berdepan PKNP FC pada aksi Liga Super, esok sudah tentu menyimpan misi memburu kemenangan dalam usaha mengukuhkan lagi pemburuan kejuaraan liga kali keenam berturut-turut.
JDT kini selesa di tangga teratas selepas mengumpul 39 mata ketika Pahang yang berada di tangga kedua ketinggalan 13 mata.
Justeru kemenangan ke atas anak didik Abu Bakar Fadzim amat ditagih pengurus JDT, Luciano Figueroa yang mahu barisan pemain skuad Harimau Selatan terus konsisten.
Jika JDT berjaya mengatasi PKNP FC, baki tiga perlawanan iaitu menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Rabu ini disusuli aksi menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, 26 Jun dan pertembungan di Ipoh berdepan anak didik Mehmet Durakovic pada 7 Julai dan ketiga-tiga perlawanan skuad Harimau Selatan mencipta kemenangan maka pasukan itu akan menjulang kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut.
Namun Figueroa pada setiap perlawanan ketika sesi sidang media tampak enggan dibuai mimpi indah tatkala JDT mencipta kemenangan sebaliknya lebih gemar berbicara mengenai peningkatan yang perlu dilakukan dalam setiap aksi yang akan diharungi.
Malah beliau sendiri mengakui beberapa `set-piece' yang dilakukan dalam aksi JDT masih kurang berkesan dan tampak perlu diperkemaskan lagi terutama menerusi sepakan percuma dan sepakan sudut yang kurang efisien.
"Kami tidak boleh terlalu selesa dengan apa jua pencapaian sekarang sebaliknya sentiasa perlu meningkatkan lagi kualiti permainan terutama `set-piece' yang tampak kurang tajam dan harus diperkemaskan lagi.
"Tidak kira sama ada pasukan lawan berada di kelompok atas atau bawahan, mereka boleh beri ancaman kepada kita jika kita bersikap sambil lewa dan anggaplah setiap perlawanan yang dihadapi ibarat aksi final," kata Figueroa.
Yang pasti, gandingan Figueroa dan Benjamin Mora akan menurunkan kesebelasan terbaik malah kelibat Safawi Rasid, Corbin Ong dan Adam Nor Adzlin yang beraksi untuk skuad Harimau Malaya pada aksi playoff pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini akan dipertaruhkan untuk berdepan PKNP FC.
Walaupun PKNP FC di zon penyingkiran namun pasukan itu boleh dianggap berbahaya tatkala mereka pasti ingin bangkit bagi mengelak mengalami kekalahan ke-10 dan JDT harus berwaspada dengan corak permainan pasukan itu yang bakal turun lebih agresif.
Ulasan
Catat Ulasan