JDT buru kemenangan kukuhkan kedudukan liga


PEMAIN pasukan Johor Darul Ta'zim bakal menentang PKNP FC di Stadium Manjung. NSTP/Sharul Hafiz Zam



JOHOR BAHRU: Kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke Stadium Manjung, Perak untuk berdepan PKNP FC pada aksi Liga Super, malam esok sudah tentu menyimpan misi memburu kemenangan dalam usaha mengukuhkan lagi pemburuan kejuaraan liga kali keenam berturut-turut.
JDT kini berkedudukan selesa di tangga teratas selepas mengumpul 39 mata ketika Pahang yang berada di tangga kedua ketinggalan 13 mata. 
Justeru kemenangan ke atas anak didik Abu Bakar Fadzim amat ditagih pengurus JDT, Luciano Figueroa yang mahukan barisan skuad Harimau Selatan terus konsisten.
Jika JDT berjaya mengatasi PKNP FC pada aksi malam esok, mereka akan menghadapi baki tiga perlawanan menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Rabu ini disusuli aksi menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat (26 Jun) dan berdepan anak didik Mehmet Durakovic pada 7 Julai.
Jika dalam ketiga-tiga perlawanan itu skuad Harimau Selatan mencipta kemenangan, maka pasukan itu akan menjulang kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut.
Namun Figueroa ketika sesi sidang media tampak enggan dibuai mimpi indah sebaliknya lebih gemar berbicara mengenai peningkatan perlu dilakukan dalam setiap aksi akan diharungi.
Beliau sendiri mengakui beberapa `set-piece' dilakukan dalam aksi JDT masih kurang berkesan dan tampak perlu diperkemaskan terutama menerusi sepakan percuma dan sepakan sudut yang kurang berkesan.
"Kami tidak boleh terlalu selesa dengan apa jua pencapaian sekarang sebaliknya sentiasa perlu meningkatkan lagi kualiti permainan terutama `set-piece' yang tampak kurang tajam dan harus diperkemaskan lagi.
"Tidak kira sama ada pasukan lawan berada di kelompok atas atau bawahan, mereka boleh beri ancaman kepada kita jika kita bersikap sambil lewa dan anggaplah setiap perlawanan yang dihadapi ibarat aksi final," kata Figueroa.

Ulasan