Johor Darul Ta'zim (JDT) menganggap perlawanan menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Larkin kelmarin sangat mencabar meskipun berjaya meraih kemenangan 3-2 pada aksi tersebut.
Bagaimanapun, pengendalinya, Luciano Figueroa berkata, beliau berpuas hati tiga mata menjadi milik mereka sepenuhnya walaupun masih terdapat banyak ruang untuk dibaiki oleh skuad Harimau Selatan.
“Saya sangat gembira kerana beroleh tiga mata. Ia sangat penting buat kami pada masa ini. Perlawanan ini begitu mencabar.
“Kami bermula dengan baik dan menjaringkan dua gol dengan pantas. Namun, kemudian aksi kami sedikit menurun. Saya gembira atas kemenangan ini tetapi kami masih perlu memperbaiki permainan,” katanya pada sidang akhbar malam kelmarin.
Tambahnya, beliau mahu anak-anak buahnya terus mengekalkan mentaliti kemenangan sekali gus memastikan gelaran juara Liga Super kekal menjadi milik mereka sekali lagi.
“Saya tidak memikirkan mengenai kami hanya memerlukan dua lagi kemenangan (untuk muncul juara Liga Super) tetapi saya memberi fokus mengenai perlawanan akan datang.
“Kami perlu ke Melaka dan cuba memenangi perlawanan tersebut dan kemudian memikirkan perlawanan seterusnya. Kami akan lihat apa yang akan berlaku.
“Sekiranya kami menjadi juara (awal), kami masih perlu memenangi perlawanan-perlawanan berikutnya untuk meneruskan mentaliti kemenangan ini,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan