Langkau ke kandungan utama

JDT akur seri menentang PKNP

PEMAIN PKNP FC Giancarlo Lopes Rodrigues (kiri) cuba merebut bola
PEMAIN PKNP FC Giancarlo Lopes Rodrigues (kiri) cuba merebut bola dengan pemain JDT, La Vere Lawrence Corbin Ong (kanan) dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR WAHAB
LUMUT, 15 Jun - Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan pasukannya tidak bernasib baik selepas sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Super menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini malam tadi.
Mora berkata pasukannya telah bermain sebaik mungkin, namun empat sepakan anak buahnya hanya sekadar menyinggah tiang gol dan tiada tambahan gol sehingga keputusan seri itu kekal sehingga tamat perlawanan.
“Kita juga dihadiahkan sepakan penalti untuk mendahului pihak lawan namun sepakan tersebut juga gagal. Saya rasa kita tidak bernasib baik dan perlu meningkatkan lagi kualiti permainan.
“Apa-apa pun saya memang tidak berpuas hati malam ini tetapi saya berbangga dengan pemain saya walaupun pada satu ketika kita terpaksa bermain dengan 10 pemain, kita tidak menyerah kalah,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut, malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, Diogo Luis Santo berjaya menjaringkan gol pertama menerusi sepakan kencang menewaskan penjaga gol PKNP FC, Khairul Thaqif Shah, pada minit keempat.
PKNP FC kemudiannya menggasak pasukan lawan sebelum berjaya menghasilkan gol pada minit ke-14 hasil tendangan Ramon Da Silva Costa. - BERNAMA

Ulasan