Figueroa belum puas hati permainan JDT





WALAUPUN menang 3-2 menewaskan Selangor namun pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa belum berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan barisan pemain pasukan itu pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Figueroa berkata, kemenangan malam tadi memang penting buat JDT untuk menjarakkan kutipan mata dengan Pahang.
Tapi corak permainan pada aksi itu agak longgar apabila Selangor mampu mencipta gol untuk merapatkan jurang jaringan.


Menurutnya, tiga mata yang diraih cukup melegakan dan ia penting kerana berdepan lawan yang sukar dijinakkan tatkala harus memberi sepenuh tumpuan sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
"Sudah tentu gembira dengan kemenangan it. Namun masih ada kelemahan yang saya lihat menyebabkan pasukan lawan mampu menjaringkan gol dan sepatutnya perkara itu tidak berlaku tatkala kita beraksi di laman sendiri.
"Kami bermula dengan baik pada awal babak pertama apabila menjaringkan dua gol pantas. Bagaimanapun momentum permainan barisan pemain saya mula kendur dan membuka ruang buat lawan mengatur gerakan berbahaya.
"Kena perbaiki segera kerana ia kerap berlaku dalam perlawanan yang diharungi dan ia cukup bahaya.
Kami tidak boleh ulangi lagi corak permainan yang tidak konsisten malah harus lebih agresif dari mula hingga tamat perlawanan," katanya.
Figueroa memuji corak permainan skuad kendalian B Sathianathan yang bermain taktikal menarik dengan permainan terbuka tanpa beraksi secara negatif sekali gus merancakkan lagi perlawanan itu.
Beliau juga berpuas hati dengan persembahan Nazmi Faiz Mansor yang beraksi di posisi tengah menggantikan Afiq Fazail yang diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan apabila pemain itu bergandingan baik bersama kapten Hariss Harun dan Leandro Velazquez.
Ditanya sama ada baki dua perlawanan yang bakal ditempuh skuad Harimau Selatan menentang Melaka United, Rabu ini dan Perak, 7 Julai ini akan lebih sukar buat pasukan itu tatkala perlu menang dua perlawanan bagi mengesahkan kejuaraan liga kali keenam berturut-turut, Figueroa enggan terlalu memikirkan aksi itu.
Sebaliknya beliau lebih gemar untuk merencana strategi satu demi satu perlawanan bagi mengelak pemain berada dalam tekanan dan memberi fokus ke arah satu perlawanan sahaja tanpa memikirkan dua perlawanan sekali gus.
"Saya tidak mahu fikir kita ada baki dua perlawanan untuk muncul juara. Biarlah kita harungi satu demi satu aksi.
Kita kenalah fokus dan sentiasa tenang untuk mengharungi aksi seterusnya malah saya optimis pemain sedar tanggungjawab yang mereka galas," katanya.

Ulasan