Figueroa belum puas hati permainan JDT

Pemain JDT, Muhammad Nazmi Faiz Mansor (kanan) diasak pemain Selangor, Mohamad Ashmawi Md Yakin (dua dari kanan) ketika perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam. - Foto Mohd Azren Jamaludin
JOHOR BAHRU: Walaupun meraih kemenangan 3-2 ke atas Selangor, pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa masih tidak berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan pasukan itu pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, semalam.
Figueroa berkata, kemenangan itu memang penting buat JDT untuk menjarakkan kutipan mata dengan Pahang namun corak permainan agak longgar apabila Selangor mampu mencipta gol untuk merapatkan jurang jaringan.
"Sudah tentu gembira dengan kemenangan it. Namun masih ada kelemahan yang saya lihat menyebabkan pasukan lawan mampu menjaringkan gol dan sepatutnya perkara itu tidak berlaku tatkala kita beraksi di laman sendiri.
"Kami bermula dengan baik pada awal babak pertama apabila menjaringkan dua gol pantas. Bagaimanapun momentum permainan barisan pemain saya mula kendur dan membuka ruang buat lawan mengatur gerakan berbahaya.
"Kena perbaiki segera kerana ia kerap berlaku dalam perlawanan yang diharungi dan ia cukup bahaya. Kami tidak boleh ulangi lagi corak permainan tidak konsisten malah harus lebih agresif dari mula hingga tamat perlawanan," katanya.
Figueroa memuji corak permainan skuad kendalian B Sathianathan yang bermain taktikal menarik dengan permainan terbuka tanpa beraksi secara negatif sekali gus merancakkan lagi perlawanan itu.
Beliau juga berpuas hati dengan persembahan Nazmi Faiz Mansor yang beraksi di posisi tengah menggantikan Afiq Fazail yang diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan apabila pemain itu bergandingan baik bersama kapten Hariss Harun dan Leandro Velazquez.
Ditanya sama ada baki dua perlawanan bakal ditempuh skuad Harimau Selatan menentang Melaka United, Rabu ini dan Perak, 7 Julai ini akan lebih sukar kerana perlu menang bagi mengesahkan kejuaraan liga kali keenam berturut-turut, Figueroa bagaimanapun enggan terlalu memikirkan aksi itu.

Ulasan