Drogba Ganu optimis hambat Diogo


Penyerang Terengganu, Kipre Tchetche. - Foto Rozainah Zakaria




KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche percaya pemburuan Kasut Emas musim ini masih belum tertutup biarpun dia kini baru meledak lima gol dalam saingan Liga Super.
Malah, pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu’ itu masih meletak harapan untuk menjadi pencabar utama dan memahat sejarah merangkul gelaran penjaring terbanyak  selepas sekadar tempat kedua musim lalu.
“Liga masih berbaki tujuh perlawanan lagi dan apa-apapun boleh terjadi, lebih-lebih lagi perbezaan jaringan dengan penjaring terbanyak setakat ini hanya dipisahkan dengan tiga gol.
“Justeru, saya masih berusaha untuk menghasilkan seberapa banyak jaringan bagi membantu pasukan mencatat kemenangan serta mengintai peluang muncul penjaring terbanyak musim ini selepas berada di tangga kedua musim lalu.
“Lagipun, saya gembira kerana sudah menemui semula sentuhan jaringan sejak kemarau gol dari perlawanan pertama hingga kesembilan,” kata bekas pemain kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu dan mencipta hatrik ketika bertemu Kuala Lumpur, musim lalu.
Berdasarkan kedudukan terkini, penyerang termahal Liga Malaysia (Liga M) yang beraksi bersama Johor Darul Ta`zim (JDT), Diogo Luis Santo mendahului senarai penjaring terbanyak dengan lapan gol bersama rakan sepasukan, Gonzalo Cabrera dan pemain PKNS, Kpah Sherman serta penyerang Melaka United, Patrick Reichelt.
Musim lalu, anak bongsu daripada enam beradik itu meledak 14 gol untuk berada di belakang pemenang Kasut Emas dari Selangor, Rufino Segovia yang menyumbat 19 gol.
Mengulas lanjut, Tchetche yang sebelum ini memakai lilitan kapten pasukan sebelum dilucutkan kerana prestasi tidak konsisten melaungkan amaran untuk terus ‘mengganas’ selepas sambutan Aidilfitri.
“Saya sentiasa bersemangat dan dahagakan gol setiap kali turun ke padang, namun begitu bukan mudah untuk menghasilkan jaringan kerana sudah pasti bakal dikawal ketat pertahanan lawan.
“Kerjasama rakan sepasukan penting bukan saja untuk saya tetapi juga kepada semua pemain yang berpeluang untuk menghasilkan jaringan,” ujar pemain termahal skuad TFC itu.

Ulasan