SAHAM pemain tempatan semakin melonjak di Liga Thailand apabila pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) Dominic Tan dipinjamkan ke kelab Liga 1 Thai, Trat FC hingga hujung musim ini.
Musim lalu, penyerang sensasi Harimau Malaya dan PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi beraksi dengan Nakhon Ratchasima di liga utama negara jiran itu juga secara pinjaman dan dia menyumbat satu gol dalam 10 penampilan.
Pengumuman mengenai Dominic dilakukan menerusi laman media sosial rasmi mereka, Johor Southern Tigers hari ini.
“Trat FC kini berada di tangga keenam liga Thailand dan perjanjian pinjaman itu memberikan Dominic peluang baik untuk mendapatkan pengalaman dalam liga tertinggi Thailand sebagai sebahagian daripada perkembangannya sebagai pemain.
“Dominic yang berusia 22 tahun adalah antara anak muda di JDT yang dikenal pasti untuk masa hadapan. Dia juga membuat kemunculan sulung antarabangsa bulan ini,” menurut kenyataan itu.
Dominic yang pernah beraksi dengan JDT II sebelum dinaikkan ke JDT sebelum ini pernah dipinjamkan ke kelab Portugal, Vilaverdense.
Ulasan
Catat Ulasan