Dari kaca mata TMJ: Prestasi JDT di pentas Liga Juara-Juara AFC 2019 (Bahagian 1)
Musim 2019 menyaksikan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah menjadi pasukan pertama tanah air yang bermain di saingan paling berprestij bola sepak asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim berkata sasaran untuk bermain dalam saingan ACL merupakan cita-citanya sejak dari awal lagi baginda mengambil alih pasukan tersebut. Namun, baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) tidak menyangka ianya dapat dikecapi dalam tempoh masa lima tahun selepas daripada itu.
“Itu adalah salah satu cita-cita saya tetapi saya seorang yang realistik, dan saya tidak sangka ianya begitu cepat.
“Saya jangkakan dalam masa enam, tujuh tahun atau mungkin lapan tahun. Tetapi kami dapat bermain dalam kancah ACL dalam masa lima tahun amat memberangsangkan, satu penghormatan dan satu pengiktirafan kepada kemajuan kelab samada di luar mahupun dalam padang.
“Pertandingan ACL merupakan pertandingan yang berprestij, bermain dengan pasukan-pasukan terbaik asia, pasukan elit seluruh asia,” kongsinya dalam temubual bersama pengulas Liga Super, Keeshaanan Sundaresan.
Menjawab persoalan mengenai prestasi JDT pada penampilan sulung saingan ACL pada musim ini, bagi secara peribadi cukup berpuas hati dengan pasukan yang turut mendapat gelaran Harimau Selatan itu.
Tambah baginda lagi, walaupun JDT mempunyai kekurangan kualiti, pengalaman dan bajet berbanding pasukan-pasukan asia yang sering bertanding dalam kancah ACL saban tahun, JDT tidak menjadi pasukan belasahan malah turut memberikan saingan kepada lawannya.
“Kalau nak bercakap soal prestasi, saya pun seorang yang realistik, ini merupakan kali pertama kami bersaing dalam kancah ACL. Saya tidak mengharapkan atau meletakkan satu sasaran yang tinggi atau tekanan kepada pemain-pemain kerana saya tahu kami masih baru lagi bermain di tahap ini menentang pasukan yang lebih handal, lebih pengalaman serta mempunyai bajet yang lebih besar, mempunyai lebih kualiti.
“Jadi, untuk tahun pertama ini, dari segi prestasi mereka dalam saingan ACL, saya berpuas hati. Kerana kami tidak menjadi pasukan belasahan, kita tidak menjadi pasukan pelengkap jadual tetapi kita memberikan tentangan serta kita dapat membuktikan anak tempatan kita juga mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi lagi.
“Keseluruhannya, dari segi prestasi, saya berpuas hati.” titah baginda lagi.
Ulasan
Catat Ulasan