Dari kaca mata TMJ: Prestasi gandingan Lucho & Mora musim 2019 (Bahagian 3)
Pada penghujung musim lalu, Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukan satu perubahan yang drastik dalam barisan kejurulatihannya, iaitu melantik bekas penyerang prolifik mereka, Luciano Figueroa selaku pengurus pasukan dan ketua jurulatih di samping Benjamin Mora sebagai pembantu.
Ketika itu, keputusan yang dibuat oleh JDT mendapat kritikan kalangan penyokongnya kerana menganggap Luciano atau lebih dikenali sebagai Lucho tidak mempunyai pengalaman sebagai seorang jurulatih. Kritikan itu juga turut terarah kepada Benjamin Mora, lebih-lebih lagi musim 2019 mereka akan melakukan penampilan sulung dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Namun, bagi pihak pengurusan JDT termasuk pemiliknya, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, baginda mempunyai alasan kukuh mengenai perubahan yang dilakukan ke atas barisan kejurulatihan pasukan Harimau Selatan, pada saat itu.
Jelas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), kedua-dua insan ini sudah lama berkhidmat bersama pasukan JDT dan cukup ‘masak’ dengan kehendak yang dimahukan oleh JDT.
“Luciano Figueroa adalah seorang pengurus yang merupakan bekas pemain. Dia faham ‘DNA’ kelab, dia pernah bersusah-payah di kelab ini, dia pernah ada macam-macam pencapaian di kelab ini, dan dia adalah orang yang faham kelab ini.
“Benjamin Mora pula memang orang yang faham falsafah yang kita ingin mainkan, di mana kita letakkan dia di JDT II dahulu.” jelasnya dalam sesi temubual bersama pengulas Liga Super, Keeshaanan Sundaresan.
Tambahnya lagi, posisi kejurulatihan di JDT meliputi pelbagai aspek. Dari aspek pengurusan, percaturan pemain sehinggalah kepada hal-hal teknikal pemain. Dan masing-masin memainkan peranannya.
Mengenai prestasi Lucho dan Mora, para penyokong boleh menilali sendiri apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua meraka pada musim ini. Mereka telah memberikan saingan di dalam kancah ACL serta mengekalkan konsistensi di dalam saingan domestik terutamanya Liga Super.
“Ada beberapa jenis jurulatih, kita adalah jurulatih yang hanya menjalankan tugas kejurulatihan dan menjadi seperti ‘boss’, tetapi kita juga ada jurulatih yang bergelar ‘teaching coach’ yang mengajar. Yang memberi tunjuk ajar perkara-perkara teknikal.
“Jadi, gandingan itu pada awalnya tidak meyakinkan orang ramai. Ramai yang mengatakan Luciano Figueroa tidak mempunyai pengalaman, Benjamin Mora tiada pengalaman.”
“Hari ini, pencapaian dan prestasi mereka telah membuktikan ramai yang salah. Mereka bukan sahaja menunjukkan mampu bersaing di peringkat tertinggi tetapi turut konsisten dalam kancah bola sepak tempatan kita.” jelas baginda.
Ulasan
Catat Ulasan