JOHOR BAHRU: Kelincahan pemain muda Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ramadhan Saifullah Usman yang berjaya menjaringkan satu gol selepas pasukan itu menewaskan UiTM FC
2-0 pada aksi Liga Perdana, malam tadi mendapat pujian ketua jurulatih Ervin Boban.
Boban jelas teruja dengan corak permainan pemain berusia 19 tahun itu yang langsung tidak kekok beraksi di posisI sayap kanan apabila sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan skuad kendalian Ismail Zakaria.
"Biarpun masih muda, tapi Ramadhan begitu matang beraksi dan memperagakan aksi terbaik apabila sering memberi tekanan kepada pasukan lawan yang terpaksa bertungkus lumus menyekat pemain itu.
"Malah ada satu ketika sehingga dua pemain UiTM FC cuba menghalang dia namun pemain itu bijak meloloskan diri dan itu yang kita mahu di JDT II iaitu memberi peluang kepada pemain muda beraksi dalam perlawanan kompetitif.
"Ia penting untuk memberi pendedahan dan saya kerap menurunkan Ramadhan kerana dia begitu komtimed apabila diturunkan dalam setiap perlawanan. Tapi masih ada ruang untuk dia memperbaiki lagi corak permainan," katanya.
Mengulas mengenai kemenangan ke atas UiTM FC, bekas legenda import Johor era 90an itu berpuas hati dengan corak permainan kesebelasan pemain JDT II yang diturunkan malah berharap momentum kemenangan itu diteruskan.
Menurutnya, kelibat seperti Nicolas Fernandez, Mohamad Ghaddar, Shakir Shaari dan beberapa pemain lain berjaya membentuk corak taktikal yang ampuh sehingga sukar barisan pemain UiTM FC melakukan gerakan.
Beliau menambah sudah tiba masanya untuk meneruskan keinginan bagi memburu kejuaraan Liga Perdana dan akan membuat persiapan lebih rapi apabila berdepan Sabah pada aksi di laman sendiri, 5 Julai ini.
"Aksi menentang Sabah ibarat perlawanan hidup dan mati buat JDT II. Jika kita menang mungkin ada peluang untuk berada di tangga teratas dan baki dua lagi perlawanan menjadi penentu. Apapun saya berharap kita mampu lakukan kejutan pada musim ini," kata Boban.
Ulasan
Catat Ulasan