Bintang legenda gegar JB malam ini


AKSI perlawanan amal JDT TMJ menentang JDT Rest Of The World (All-Stars JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, malam ini dilihat sebagai pentas beberapa pemain legenda melepaskan 'gian' beraksi buat peminat.
Malah, rata-rata pemain terbabit yang julung kali menjejakkan kaki ke Johor tidak sabar untuk beraksi apatah lagi diberitahu penjualan tiket mendapat sambutan mengalakkan.
Bekas pemain pertahanan Itali, Gianluca Zambrotta berkata, beliau berbesar hati untuk kali pertama di hadapan peminatnya dan menganggap perlawanan amal itu sesuatu yang penting.


"Saya baru sahaja tiba dari Itali, pagi tadi dan berbesar hati untuk bermain bersama rakyat Johor serta Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada malam ini.
"Bukan mudah melihat sukan bola sepak Malaysia semakin berkembang dan saya mengambil peluang melihat pemain tempatan, mana tahu mungkin ada yang layak bermain di Itali atau Eropah," katanya ketika ditemui NSTP pada sesi pemain bersama media di Johor Bahru, hari ini.
Antara legenda hadir adalah Marco Materrazi, Louis Saha, Esteban Cambiasso, David Trezeguet, Bebeto, Robert Pires, Claude Makelele dan Florent Malouda.
Bekas bintang Perancis, Makelele menyifatkan perlawanan itu sebagai peluang untuk menunjukkan kemahiran kepada peminat.
"Saya berbesar hati menjayakan kutipan amal bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Aksi persahabatan amal ‘All-Stars JDT’ di Stadium Tan Sri Hassan Yunos menyaksikan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) TMJ bakal berdepan pasukan JDT Rest of the World.
Pasukan JDT TMJ diperkuatkan dengan tiga bekas bintang Perancis iaitu Pires, Makalele dan Malouda selain Tunku Ismail sendiri akan bermain di posisi tengah dan bergandingan Cambiasso, Materazzi serta Zambrotta.
Beberapa pemain JDT seperti penjaga gol, Farizal Marlias, La'Vere Corbin-Ong, Mauricio Nascimento, Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo dan Safawi Rasid turut berada dalam skuad JDT TMJ.
JDT Rest of the World dibarisi beberapa legenda bola sepak dunia antarannya Rivaldo, Claudio Caniggia, Edgar Davids dan Bebeto.
Penjaga gol kedua JDT, Izham Tarmizi ditugaskan sebagai penjaga gol JDT Rest of the World selain pemain Harimau Selatan lain termasuk Syazwan Andik Ishak, S Kunanlan dan Aidil Zafuan Abd Radzak.

Ulasan