Langkau ke kandungan utama

Belum masanya berseronok sakan

PEMAIN JDT meraikan jaringan  Leandro  Velazquez ketika menentang
PEMAIN JDT meraikan jaringan Leandro Velazquez ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR - Biarpun semakin hampir untuk menjulang kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut, namun Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan terlalu berseronok lebih awal.
Kemenangan 3-2 ke atas gergasi Lembah Klang, Selangor malam tadi mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan di tangga teratas dengan 13 mata mengatasi pasukan tangga kedua, Pahang ketika saingan berbaki lima perlawanan.
Malah, kemenangan itu membolehkan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 17 aksi Liga Super musim ini.
"Saya tidak memikirkan tentang kami memerlukan dua lagi perlawanan (untuk kejuaraan Liga Super) tetapi saya berfikir mengenai perlawanan yang akan datang.
"Kami perlu ke Melaka (Rabu depan) dan cuba memenangi perlawanan tersebut, kemudian memikirkan perlawanan seterusnya.  Kami akan lihat apa yang akan berlaku. 
"Sekiranya kami menjadi juara (awal), kami masih perlu memenangi perlawanan-perlawanan berikutnya untuk meneruskan ‘winning mentality’ ini," kata pengurus JDT, Luciano Figueroa dalam Facebook JOHOR Southern Tigers.
Dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, tuan rumah membuka jaringan menerusi rembatan Gonzalo Cabrera seawal minit kesembilan.
JDT menambah gol kedua menerusi Leandro Velazquez pada minit ke-11, sekali gus memberi tekanan kepada Red Giants.
Selangor yang dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti merapatkan jurang menerusi Khyril Muhymeen yang menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-41.
Harimau Selatan bagaimanapun menghukum anak-anak buah B. Sathianathan apabila Safawi Rasid meledak gol ketiga pada minit ke-61.
Selangor yang beraksi dengan 10 pemain selepas K. Sarkunan dilayangkan kad merah, dihadiahkan sepakan penalti pada minit-89, yang mudah disempurnakan oleh Sandro Da Silva. - UTUSAN

Ulasan