Bekas bintang bola sepak dunia gegar Larkin



LEBIH dari 10 bekas pemain bola sepak terkemuka dari seluruh dunia bakal beraksi dalam perlawanan amal di stadium keramat kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Larkin, Johor Bahru pada 30 Jun ini.
Ia diilhamkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempunyai hubungan baik dengan beberapa bekas pemain ternama dunia.
Antara pemain yang bakal membuat penampilan adalah bekas bintang Portugal, Luis Figo; bekas bintang Brazil, Roberto Carlos dan Bebeto selain kelibat bekas bintang Argentina, Claudio Caniggia; bekas bintang Itali, Marco Materazzi dan bekas bintang Perancis, Robert Pires.
TMJ menerusi laman facebook JOHOR Southern Tigers mengumumkan perlawanan yang julung kali diadakan itu.
"Saya amat teruja untuk mengumumkan bahawa satu perlawanan amal `All-Star' membabitkan barisan pemain Rest of The World XI dan Pilihan JDT akan diadakan di Larkin (Stadium Larkin).
"Perlawanan itu bakal menampilkan bekas pemain terkemuka dari seluruh dunia termasuk Figo, Roberto Carlos, Bebeto, Caniggia, Materazzi dan Pires akan beraksi dalam perlawanan yang akan diadakan pada 30 Jun ini," kata Tunku Ismail dalam kenyataan itu.
Tunku Ismail berkata, semua kutipan sempena perlawanan amal itu akan disumbangkan kepada Yayasan Tunku Laksama Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (MAKNA) dan Women's Aid Organisation (WAO).
"Selain itu peminat bola sepak tanah air turut berpeluang turut berpeluang mendapatkan autograf dan bergambar dengan bekas bintang bola sepak dunia yang pernah mewarnai kancah bola sepak antarabangsa," katanya.

Ulasan