Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sah bergelar juara Liga Super Malaysia 2019 selepas berjaya menumpaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat pada malam tadi. Kejuaraan tersebut juga tiba susulan kekalahan pesaing terdekat iaitu Pahang yang tewas 5-2 kepada Selangor di Shah Alam pada perlawanan sehari sebelumnya.
Enam kejuaraan berturut-turut sejak 2014, adalah pencapaian luar biasa buat JDT. Selain daripada tanda dominasi sebuah empayar bola sepak di negara ini, berikut adalah enam perkara yang kami gariskan mengenai kejuaraan bagi musim 2019.
Gandingan Cabrera-Diogo-Safawi
Gandingan Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo dan Safawi Rashid bolehlah dinobatkan sebagai gandingan serangan paling berbahaya dalam sejarah Liga Malaysia. Selepas 18 perlawanan dilalui, ketiga-tiga pemain telah menjaringkan 26 gol sesama mereka. Secara purata, ia adalah 1.4 gol untuk setiap 90 minit.
Jumlah jaringan ketiga-tiga pemain juga, Diogo (10 gol), Cabrera (9 gol) dan Safawi (7 gol) adalah lebih banyak daripada jumlah jaringan keseluruhan yang dihasilkan Pahang – di tangga kedua – dengan 24 gol. Secara keseluruhan, JDT sudah menghasilkan 39 gol sepanjang 18 perlawanan yang dilalui. JDT mencatatkan jumlah jaringan tertinggi pada musim 2016, dengan 56 gol. Mampukah JDT mengejar rekod mereka sendiri pada 2016 pada baki empat perlawanan MSL 2019?
Pertahanan JDT
Jika dibandingkan pada pada peringkat yang sama pada musim lalu, JDT pada musim ini seakan-akan mempunyai isu sedikit isu di bahagian pertahanan, Musim 2018 menyaksikan mereka hanya dibolosi 7 gol selepas 18 perlawanan. Mereka mengakhiri keseluruhan musim 2018 dibolosi sebanyak 9 kali. Itu adalah rekod terbaik mereka sepanjang enam musim mendominasi Liga Malaysia.
JDT dibolosi paling banyak pada musim 2014 dengan 22 gol. Musim ini JDT sudah pun dibolosi sebanyak 15 kali selepas 18 perlawanan. Namun demikian jumlah bolos tersebut masih dikategorikan sebagai sangat baik dengan ratio bolos 0.83 gol untuk setiap 90 minit perlawanan.
Dominasi enam musim
JDT menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Malaysia menjuarai Liga Super sebanyak 6 tahun berturut-turut. Dominasi yang mereka mulakan sejak 2014. Kutipan mata tertinggi mereka dalam tempoh tersebut adalah 59 mata pada 2016.
JDT berjaya mengutip 46 mata selepas 18 perlawanan. Dibandingkan dengan musim lalu, JDT kekurangan satu mata selepas jumlah perlawanan yang sama. Mereka juga menjadi pasukan dengan gol terbanyak dan bolos paling sedikit selepas perlawanan ke-18.
Larkin terus jadi kubu kebal
Larkin sekali lagi menjadi kubu kebal dan fortress pasukan JDT. Ini antara sebab penting kejuaraan awal JDT. Pada musim ini JDT merekodkan kemenangan 100% dalam saingan MSL 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin membabitkan sembilan perlawanan setakat ini. Kali terakhir JDT gagal mengutip mata penuh di Larkin ialah pada 11 Februari 2017. Selepas itu, JDT merekodkan 28 kemenangan berturut-turut di Larkin sehingga ke hari ini.
Sebagai rekod, JDT juga masih belum kalah dalam saingan Liga Super di Larkin sejak 2012. Kali terakhir mereka tewas di Larkin dalam saingan liga utama adalah pada 7 April 2012 di tangan Lions XII. Musim hadapan rekod cemerlang itu bakal disambung di stadium baharu – Stadium Sultan Ibrahim – yang akan menjadi arena baharu Sang Harimau Selatan.
JDT konsisten dengan pemain sedia ada
Jendela perpindahan kedua pada setiap Mei sering digunakan oleh pasukan-pasukan dari Liga Malaysia untuk melakukan pertukaran pemain – khususnya pemain import – untuk menguatkan pasukan bagi menghadapi saingan kedua liga. Seramai 30 pemain menyertai pasukan baru, dan 26 lagi dilepaskan oleh 11 dari 12 pasukan yang bersaing di MSL 2019.
JDT menjadi satu-satunya pasukan yang tidak melakukan perubahan pada jendela perpindahan yang lalu. Ini menjelaskan bagaimana telitinya JDT melakukan persiapan, sesuai dengan sasaran mereka pada musim ini termasuk untuk bersaing di Asian Champions League (ACL 2019).
Pengurusan pasukan
Pengurusan pasukan terutama struktur di bahagian kejurulatihan JDT agak berbeza dengan apa yang ditampilkan oleh pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia. Di JDT, jawatan pengurus pasukan yang dipegang oleh Luciano Figueroa terlibat secara langsung di dalam latihan dan ketika memberi arahan dalam permainan – bersama-sama Ketua Jurulatih, Benjamin Mora.
Strategi ini tampak asing dan janggal pada mulanya, tetapi kini gandingan Luciano-Mora sudah membuktikan kedua-dua mereka boleh bekerja bersama-sama demi memastikan JDT menampilkan aksi terbaik di atas padang. Ini bukanlah perkara yang menghairankan. Luciano misalnya adalah bekas pemain yang sangat memahami falsafah dan DNA bola sepak yang diamalkan oleh JDT. Begitu juga dengan Mora yang turut pernah mengetuai JDT II. Tidak boleh dinafikan, ini adalah langkah bijak tidak lain dan tidak bukan pemilik JDT sendiri, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Penutup
Kejayaan mempertahankan kejuaraan buat kali ke-6 juga bermakna JDT akan sekali lagi tampil selaku wakil automatik negara ke saingan ACL pada musim hadapan.
Selepas apa yang ditampilkan pada musim ini, kami percaya JDT mampu pergi lebih jauh bukan sahaja di pertandingan domestik, tetapi juga di Asia. Tahniah JDT!!! That’s Double HAT-TRICK is Awesome!!!
Kredit foto: JST
Ulasan
Catat Ulasan