Zamir puas dengan penampilan pertama


Penjaga gol Pulau Pinang, Zamir Selamat (kanan) menahan asakan pemain JDT II, Francisco Insa Bohigues pada perlawanan Liga Perdana di Stadium MPPG Pasir Gudang, pada Sabtu. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
PASIR GUDANG: Penampilan pertama Zamir Selamat bersama Pulau Pinang nyata beri kesan apabila ketangkasannya berjaya membantu pasukan itu mencipta kemenangan 2-0 menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-0 dalam aksi Liga Perdana, Sabtu lalu.
Bagi bekas penjaga gol kebangsaan itu, kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) ibarat satu amanah tatkala karier bola sepaknya hampir berkubur selepas tercari-cari pasukan yang ingin disertai.
"Jika diimbas semula pada penghujung 2018 dan memasuki 2019, terlalu banyak dugaan yang saya tempuhi sehingga saya bagaikan hilang keyakinan. Walaupun saya bermula dengan pasukan Batu Dua FC yang beraksi di Liga M3.
"Namun ia amat berbeza berbanding saingan Liga Super mahupun Liga Perdana. Apabila jendela perpindahan kedua dibuka, saya ditawarkan oleh FAP dan bermulalah karier bersama pasukan Pulau Pinang.
"Kini saya perlu tingkatkan lagi permainan dan lebih berkeyakinan untuk berusaha membantu Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana dan sasaran kami sudah tentu ingin layak ke kancah Piala Malaysia," kata Zamir.
Dalam aksi menentang JDT II, Zamir beraksi cemerlang selepas menidakkan beberapa percubaan berbahaya skuad bimbingan Ervin Boban yang diterajui Mohamad Ghaddar dan Nicolas Fernandez yang begitu rakus mengasak ke kubu Pulau Pinang.
Walaupun beraksi di gelanggang lawan, Pulau Pinang memastikan kemenangan memihak pasukan itu selepas mencipta jaringan menerusi jaringan Sergio Aguero pada minit ke-35 dan gol hasil bola rembatan Casagrande bagi memastikan kemenangan buat skuad Haria Penang Haria itu.
Dalam pada itu, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abd Wahid mengakui pengalaman Zamir mengemudi gawang gol membantu pasukan itu mencipta kemenangan tatkala berdepan situasi getir selepas diasak bertubi-tubi JDT II pada 10 minit terakhir perlawanan.
Katanya, Zamir bukan sahaja cekap membaca bola dan bertindak pantas untuk menghalang bola daripada dijaringkan pasukan lawan tetapi sering berkomunikasi dengan pemain pertahanan untuk memastikan benteng sentiasa bersedia.
"Walaupun hanya seminggu bersama Pulau Pinang, Zamir menunjukkan kematangan mengemudi gawang gol dan saya optimis dengan kehadirannya masalah untuk memiliki penjaga gol yang mantap sudah selesai.
"Kami ada baki tujuh perlawanan lagi iaitu tiga aksi di laman sendiri dan baki empat perlawanan di tempat lawan dan sasaran kami adalah untuk layak ke saingan Piala Malaysia dan pemain tampak berazam mencapai misi itu," kata Manzoor.

Ulasan