JURULATIH JDT, Benjamin Mora (kanan) , Pemain JDT, Hariss Harun (dua dari kanan) bergambar dengan Jurulatih Kashima Antles, Go Oiwa (kiri) dan pemain Koki Anzai (dua dari kiri) selepas sidang akhbar sebelum perlawanan antara JDT dan Kashima Antlers di Hotel Thistle hari ini. - UTUSAN ONLINE/Nur Aisyah Mazalan
JOHOR BAHRU 7 Mei - Johor Darul Ta’zim (JDT) mencongak peluang untuk melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan menundukkan penyandang juara dari Jepun, Kashima Antlers pada aksi keempat peringkat kumpulan E di Stadium Tan Sri Hassan yunos, Larkin malam esok.
Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, walaupun menduduki tangga tercorot dengan mengutip satu mata, itu tidak melunturkan semangat juang skuad Harimau Selatan untuk memburu kemenangan sulung pada penampilan pertama dalam kejohanan tersebut.
“Daripada segi matematiknya, kami masih lagi boleh layak (pusingan seterusnya) namun itu bukanlah laluan yang mudah kerana perlu memenangi dua baki perlawanan sementara mengharapkan pasukan lain tewas dalam baki perlawanan.
“Namun, saat ini kami tidak memifirkan tentang perkara itu, tumpuan kami kini sepenuhnya pada perlawanan menentang Kashima Antlers pada malam esok. Kami akan pastikan untuk terus memberi saingan serta memberi kepuasan kepada penyokong dan pihak pengurusan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada pertemuan terdahulu, Kashima menewaskan JDT dengan jaringan 2-1 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di Stadium Bola Sepak Kashima.
Selepas mengharungi empat perlawanan peringkat kumpulan, wakil tunggal negara menduduki posisi tercorot dengan mengutip satu mata. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan