Langkau ke kandungan utama

Tok Gajah mampu jadi ‘turning point’

JDT
Aksi pemain JDT ketika menentang PKNS dalam saingan Liga Super, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 14 Mei - Kelebihan lima mata yang dimiliki ketika ini belum selamat dan Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu memastikan kemenangan dilakar ke atas pencabar rapat Pahang, malam ini jika mahu mengukuhkan kedudukan, kata pemain pertahanan Harimau Selatan, Aidil Zafuan Abdul Razak.
Aidil percaya, kemenangan ke atas Tok Gajah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin mampu menjadi penentu kepada usaha JDT untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut.
“Walaupun kami kini berada di atas dengan jarak lima mata, kami tetap mahu memburu kemenangan dalam perlawanan bertemu pasukan Pahang malam ini.
“Ini kerana kami mahu menjarakkan lagi kedudukan kami dan kami tidak mahu berhempas pulas pada penghujung liga nanti. Pasukan Pahang merupakan ‘turning point’ untuk kami lebih konsisten dan lebih selesa mendahului liga.
“Fokus saya dalam setiap perlawanan adalah sentiasa menganggap perlawanan tersebut adalah perlawanan terakhir untuk diri saya dan pasukan.
“Jadi apabila saya memotivasikan diri saya seperti itu, kami pasti akan dapat memberikan sepenuh komitmen untuk setiap perlawanan,” katanya dalam Facebook JOHOR Southern Tigers, hari ini.
Menurut Aidil lagi, Harimau Selatan perlu memanfaatkan kelebihan beraksi sebagai tuan rumah untuk mengutip tiga mata penting, namun dalam masa sama tidak boleh mengambil mudah cabaran lawan.
“Kami perlu mencipta rekod sendiri dan juga tidak boleh tewas di halaman sendiri kerana kami mahu mengekalkan rekod kemenangan,” katanya lagi.
JDT satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam saingan Liga Super musim ini kini mendahului saingan dengan 30 mata, lima mata mengatasi Pahang.
Aksi pertama kedua-dua pasukan di Kuantan pada 28 April lalu berakhir seri 1-1, namun Harimau Selatan menamatkan saingan dengan 10 pemain ketika itu. - UTUSAN ONLINE

Ulasan