STANDARDISASI KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah berjaya melalui jadual yang begitu padat sepanjang bulan Mei 2019 dengan prestasi memberangsangkan. Walaupun berhadapan dengan jadual perlawanan yang begitu rapat serta beraksi dalam bulan Ramadan, barisan pemain JDT masih lagi berjaya mengekalkan rentak, tahap kecergasan dan kekuatan mental tanpa depresi.
Dalam pada itu, bulan Mei 2019 juga memperlihatkan beberapa perkara yang ketara dapat dirumuskan sepanjang perlawanan yang melibatkan Harimau Selatan.
1. DOMINASI SECARA TOTAL
Penguasaan JDT dalam Liga Super Malaysia pada musim 2019 ini amat jelas. Kali terakhir JDT jatuh dari kedudukan pertama carta liga adalah sekitar bulan Febuari 2019.
Selepas itu cengkaman JDT semakin mencengkam dan hampir pasti tidak dapat dicabar oleh mana-mana pasukan rentetan konsistensi JDT dalam memburu kemenangan.
4 kemenangan berturut-turut telah menampakkan bahawa JDT amat serius untuk menghalang Kejuaraan Liga Super Malaysia dari berpindah milik ke Negeri lain dalam Malaysia.
2. EMPAYAR KEBAL
Apabila pusingan kedua Liga Super Malaysia membuka tirai, aksi yang diterjemah oleh barisan pemain begitu mengagumkan. Paling menggembirakan adalah Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos masih lagi kebal dari sebarang kekalahan dan menjadi lubuk untuk mengutip 3 mata mutlak.
Pasukan-pasukan pesaing seperti Pahang dan Kedah juga rebah di stadium ini dengan jaringan besar serta pulang tanpa sebarang gol. Untuk rekod, sehingga kini Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos telah berjaya mengekalkan 80 perlawanan tanpa kekalahan yang telah dipertahankan sejak 6 tahun yang lepas.
3. PERBEZAAN KUALITI
Musim 2019 ini jelas menunjukkan karekter berlainan Harimau Selatan. Keterampilan serta karisma jelas menunjukkan kelab ini berada pada tahap yang begitu jauh meninggalkan pasukan-pasukan lain dalam tanah air. Tiada pasukan atau kelab yang berjaya menyaingi serta menjadi pencabar sejati.
Pasukan-pasukan lain jelas buntu untuk menewaskan JDT. Jalan alternatif untuk menyukarkan JDT dari menguasai perlawanan hanyalah dengan merancang taktikal bertahan dan berkampung dalam kubu pertahanan mereka sendiri.
4. PENAMPILAN PEMAIN MUDA
Pemain-pemain muda mula menampakkan kematangan ketika beraksi walaupun dalam perlawanan yang berintensiti tinggi. Ini telah dibuktikan dalam beberapa perlawanan di persaingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) secara amnya.
Pemain-pemain muda ini berjaya mengadaptasi segala taktikal dan strategi barisan jurulatih serta menterjemahkan dengan jayanya sepanjang perlawanan. Keprihatinan DYAM Tunku Mahkota Johor juga dalam memberi kepercayaan pemain-pemain muda ini beraksi didalam peringkat tertinggi di Asia tidak dipersia-siakan oleh mereka.
Pemain-pemain muda seperti Nazmi Faiz, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan paling menonjol Safawi Rasid telah berjaya membuka mata pemerhati bola sepak Asia dan pengurusan kelab-kelab elit Asia.
5. PERSAINGAN LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL)
Perlawanan menentang Gyeongnam FC di Republik Korea pada 22 Mei 2019 menjadi perlawanan penutup tirai aksi JDT di kancah ACL. Walaupun tewas kepada tuan rumah, aksi JDT begitu menarik perhatian setelah berjaya mendominasi sepanjang 90 minit perlawanan.
Secara total, kemunculan kali pertama JDT dalam kancah persaingan kejohanan elit benua Asia ini menampakkan kejayaan. JDT berjaya memberi tentangan sengit sehingga penentuan pasukan mana yang layak ke peringkat seterusnya terpaksa ditentukan pada perlawanan akhir peringkat kumpulan.
Impresionistik juga harapan sesetengah pihak bahawa JDT bakal menjadi pasukan belasahan juga tidak kesampaian. JDT berjaya mengimbangi permainan serta memberi cabaran yang amat sengit sehingga membuat beberapa kelab yang mempunyai nama besar tertekan sepanjang perlawanan berlangsung.
Untuk makluman, JDT tidak bolos lebih daripada 2 gol serta berjaya menjaringkan gol-gol cantik apabila bertemu kelab-kelab elit Asia.
“Perjalanan kita masih jauh, sangat jauh!”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Itulah kata-kata akhir yang telah dititahkan oleh baginda sebelum Liga Super Malaysia 2019 berehat seketika.
Akhir kata, sesungguhnya JDT kini berada pada landasan yang betul dalam memburu segala impian. Harus diakui, tanpa kehadiran DYAM Tunku Mahkota Johor dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dikancah bola sepak Malaysia, atmosfera, revolusi dan transformasi landskap bola sepak tanah air tidak akan berubah.
Inovasi dalam kewujudan JDT bukan sahaja melonjakkan martabat bola sepak Malaysia yang selama ini dipandang hina oleh negara serantau tetapi juga menjadi modul rujukan bagi mana-mana pasukan atau kelab di Malaysia yang ingin keluar dari kepompong konvensional serta mahu berubah.
"Setelah segala yang diusahakan, sebenarnya saya baru sahaja bermula"- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
Ulasan
Catat Ulasan