Langkau ke kandungan utama

Semangat skuad Harimau Selatan menjulang tinggi

SEMANGAT para pemain Harimau Selatan menjulang tinggi selepas

Semangat para pemain Harimau Selatan menjulang tinggi selepas meraih kemenangan ke atas Kashima Antlers pada saingan ACL minggu lepas dan kini menyambut kehadiran Tok Gajah di bumi Larkin malam ini.
KUALA LUMPUR - Kemenangan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas Kashima Antlers bagi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) minggu lalu memberi suntikan moral dalam memastikan langkah cemerlang skuad Harimau Selatan diteruskan pada Liga Super menentang Pahang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Kemenangan ke atas kelab gergasi Jepun tersebut berjaya membakar semangat keseluruhan barisan jurulatih dan pemain JDT untuk lebih berkeyakinan tinggi mengharungi saingan liga domestik.

Pada masa sama, skuad Harimau Selatan turut optimis untuk mempertahankan rekod kebal tanpa kalah pasukan ketika menyambut kunjungan anak-anak buah Dollah Salleh itu di bumi Larkin.
“JDT akan terus berusaha, bekerja keras dan kekal fokus dalam misi mengutip tiga mata di samping mempertahankan rekod kebal tanpa kalah di laman sendiri bagi saingan liga.
“Kali ini, kami dijadualkan bertemu pesaing rapat dalam perebutan takhta Liga Super iaitu pasukan Pahang pada hari Selasa (malam ini).
“Seterusnya, JDT perlu menewaskan pihak lawan bagi melebarkan jurang mata dan kekal mendominasi kedudukan sebagai pendahulu liga.
“JDT akan beraksi dengan penuh motivasi, keazaman, semangat dan komitmen yang amat tinggi serta agresif dalam memburu kemenangan demi kemenangan,” kata kenyataan laman Facebook rasmi milik Johor Southern Tigers.
JDT kini memimpin carta Liga Super dengan kelebihan lima mata berbanding Pahang di kedudukan kedua dan Harimau Selatan berpeluang melebarkan jurang tersebut jika mampu membenamkan skuad Tok Gajah pada malam ini.

Ulasan