IPOH: Pasukan PKNP FC dilihat berada di kedudukan bahaya dengan menghuni tangga kedua tercorot yang bakal menyaksikan pasukan terbabit tergelincir ke Liga Perdana jika terus keciciran mata pada baki tujuh perlawanan Liga Super musim ini.
Kedudukan getir itu nyata membuat Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menekan butang panik sambil mencabar semua pemain dan pengurusan pasukan untuk terus kekal dalam liga musim depan.
Menurutnya, cabarannya itu juga selari dengan apa yang dinyatakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Pengerusi PKNP FC.
"Pengerusi melontarkan cabaran jangan susahkan beliau, berilah peluang kepada beliau senang kerja untuk musim 2020.
"Kalau nak tempah kerja susah,terserah kepada pemain, kalau cari jalan susah (turun liga) ini mungkin kali terakhir saya bersama PKNP FC, tahun depan tak jumpa dah mungkin presiden lain, ataupun sudah tidak ada lagi pasukan ini," katanya.
Zainol Fadzi berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama Kelab PKNP FC di sini malam tadi.
Menurutnya, pasukan perlu berusaha dan berdoa agar impian dan hasrat Menteri Besar untuk melihat pasukan PKNP FC terus bertahan untuk musim depan dalam Liga Super tercapai.
"Kalau turun ke bawah (Liga Perdana), saya dulu turun, ini cabaran saya, hari ini turun, pagi esok saya hantar surat letak jawatan, selesai masalah saya, jawab la 'kome' dengan Pengerusi PKNP FC.
Sementara itu, jurulatih Abu Bakar Fadzim menyahut cabaran itu dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya jika pasukan bimbingannya turun ke Liga Perdana musim depan.
"Ini cabaran yang adil, kerana saya sudah diberikan kuasa penuh untuk membentuk pasukan ini oleh pihak pengurusan dan akan sahut cabaran ini dalam baki tujuh perlawanan.
"Tiada alasan pada saya dan pemain, yang penting saya bertanggung jawab sebab semua perancangan daripada saya. Jika PKNP FC gagal ia adalah kegagalan saya," katanya.
Abu Bakar mengakui cabaran untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super yang dihadapinya dalam baki beberapa perlawanan lagi ini adalah cabaran paling getir sepanjang kariernya.
"Ini adalah cabaran antara hidup dan mati PKNP FC," tegasnya.
Ulasan
Catat Ulasan