Safuwan harap atasi JDT Selasa ini


PEMAIN import Pahang dari Singapura, Safuwan Baharudin. - Foto Muhammad Asyraf Sawal.
KUANTAN: Pemain import Pahang, Safuwan Baharudin mengharapkan kejayaan skuad itu mara ke separuh akhir Piala FA mampu meningkatkan motivasi apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, Selasa ini.
Pemain berusia 28 tahun kelahiran Singapura itu berkata, kemenangan 4-0 ke atas Terengganu FC (TFC) pada suku akhir kedua Piala FA kelmarin, diyakini membantu untuk mempamerkan prestasi lebih baik.
"Saya harapkan keputusan terbaik apabila bermain di Larkin Selasa ini, selepas kami mengalami dua kekalahan berturut-turut.
"Kami perlu menang untuk mengurangkan jurang lima mata ketika ini jika mahu bersaing dengan JDT dalam perebutan Piala Liga Super musim ini.
"Diharapkan kejayaan layak ke separuh akhir Piala FA dan kemenangan besar ke atas TFC membantu mencatat kemenangan di Larkin nanti," katanya.
Selepas 12 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di tempat kedua dengan 25 mata berbanding 30 mata yang diraih skuad Harimau Selatan.
Kekalahan mengejut 0-2 Pahang kepada PJ City FC pada 4 Mei lalu, menyebabkan skuad kendalian Dollah Salleh ketinggalan lima mata dengan JDT.
Pada pusingan pertama liga di Kuantan pada 28 April lalu, Pahang seri 1-1 walaupun JDT beraksi 10 pemain dalam perlawanan berbaki 45 minit.
Justeru, Safuwan bersama rakan sepasukan akan memastikan persediaan menghadapi skuad Harimau Selatan itu benar-benar bertenaga.
Katanya, tempoh rehat singkat selepas pertemuan dengan TFC diharap tidak menjejaskan prestasi pasukan yang mahu kembali memberi tekanan kepada JDT.
"Oleh itu, kami akan berusaha melakukan yang terbaik dan mengharapkan sokongan daripada peminat Tok Gajah," katanya.

Ulasan