Langkau ke kandungan utama

Safawi tidak sabar turun menentang Kedah

PENYERANG JDT, Safawi Rashid (kiri) tidak sabar untuk beraksi
PENYERANG JDT, Safawi Rashid (kiri) tidak sabar untuk beraksi menentang Kedah dalam saingan Liga Super, esok.
KUALA LUMPUR 25 Mei – Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid tidak sabar untuk turun beraksi menentang Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok, setelah terlepas aksi terakhir Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Gyeongnam FC.
Seperti mahu melepaskan geram apabila sekadar melihat rakan sepasukannya tewas 0-2 kepada Gyeongnam FC, Safawi mahu mengembalikan semula rentak kemenangan buat Harimau Selatan.
“Pertembungan pertama di Darul Aman berakhir seri ketika Kedah menerapkan aksi agak keras. Namun, kali ini kami lebih bersedia menghadapi apa jua taktikal lawan.
“Saya tidak dapat turun ketika menentang Gyeongnam FC kerana digantung satu perlawanan dan sudah pasti memperolehi rehat yang cukup. Selepas ini, liga akan berehat dua minggu dan kami mahu menang bagi mengekalkan jarak mata pada kedudukan atas.
“Peluang bermain di laman sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin dan kalau boleh jangan tercicir sebarang mata,” katanya yang bakal bersama skuad Harimau Malaya selepas berakhir saingan Liga Malaysia.
Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super bakal menjanjikan aksi sengit selepas pertemuan pertama mereka berakhir dengan keputusan 1-1 di Darul Aman, Mac lalu.
Jika rekod pertemuan dalam saingan liga menjadi ukuran, kelebihan lebih memihak kepada JDT dalam pertemuan sebanyak tujuh kali dengan mencatat tiga menang dan empat seri.
Safawi juga berharap rakan sepasukannya sudah melupakan kekalahan dalam ACL dan mengakui penampilan pertama pasukannya pada kejuaraan berprestij Asia itu memberi satu pengalaman cukup berharga. - UTUSAN ONLINE

Ulasan