SAFAWI SUDAH TEMUI SEMANGAT JARINGKAN GOL



SAFAWI SUDAH TEMUI SEMANGAT JARINGKAN GOL

Safawi Sudah Temui Semangat Jaringkan Gol

Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid mahu menjdikan jaringannya ketika membantu Johor Darul Ta’zim menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam Jumaat lalu sebagai permulaan baharu kepada dirinya untuk terus kekal konsisten.
Selepas kemarau gol bersama Harimau Selatan sejak beberapa perlawanan terdahulu, jaringan itu dianggap hadir tepat pada masanya ketika dia bakal menyertai latihan pusat skuad kebangsaan bermula Isnin depan.
“Ini rezeki saya selepas tidak memiliki peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan sebelum ini. Saya nekad untuk menjaringkan gol dan Alhamdulillah saya berjaya melakukannya.” katanya merujuk kepada jaringan ketika menentang PKNS itu.
“Buat masa sekarang, saya fokus dahulu dengan JDT dan selepas aksi dengan Kedah, saya akan beralih kepada skuad kebangsaan.” katanya.
Ketika ini, Harimau Selatan ada baki dua lagi perlawanan sepanjang bulan ini iaitu bertemu Gyeongnam FC dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam esok dan menentang Kedah Ahad ini.
Pengendali negara, Tan Cheng Hoe kini pastinya sedang memikirkan strategi ampuh untuk mempersiapkan diri menentang Nepal pada aksi persahabatan antarabangsa 1 Jun ini.

Selepas itu Harimau Malaya akan meneruskan aksi kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 bertemu Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari ketiga Aidilfitri dan 11 Jun.
Safawi yang juga salah seorang daripada enam pemain skuad bawah 22 (B-22) yang kembali dipanggil bersama Akhyar Rasid, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan (JDT) serta Syahmi Safari (Selangor) dan Faisal Abdul Halim (Pahang).
“Saya rasa tidak ada masalah sebab Tan Cheng Hoe turut memanggil ramai pemain muda dan baharu.” katanya.
Sumber : Berita Harian

Ulasan