Rekod tanpa kalah JDT II lebur



Pemain JDT II, Mohamad Hasbullah Abu Bakar (kanan) diasak pemain PDRM, Patrick Ronaldinho Wleh (kiri) ketika perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin



PASIR GUDANG: Rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim II (JDT II) akhirnya lebur selepas tewas 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.
Walaupun tewas, kedudukan JDT II di tangga teratas masih tidak tergugat selepas kekal dengan 24 mata manakala PDRM melonjak ke tangga ketujuh selepas mengumpul 12 mata.
Pengendali JDT II, Ervin Boban melakukan rombakan barisan pemain pada perlawanan itu apabila membariskan kelibat pemain tempatan tanpa mempertaruhkan barisan pemain import selepas Lucas Ontivero digantung satu perlawanan manakala Mohamad Ghaddar dan Bruno Soares dipalit kecederaan.
Peluang terbaik tuan rumah membuka tirai jaringan hadir pada minit ke-12 namun bola sepakan percuma D Saarvindran di luar kotak penalti hanya melencong sipi di sudut kanan gawang gol ketika penjaga gol, Mohd Shahril Sa'ari sudah tertewas.
Selepas percubaan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati tanpa bertindak mengancam ke kubu lawan masing-masing.
Sepanjang babak pertama, aksi ditonjolkan JDT II dan PDRM amat membosankan tatkala permainan lebih tertumpu di kawasan tengah dan tiada gerakan menarik mampu memecah kebuntuan jaringan.
Pada babak kedua, tuan rumah bermula agresif bagi mencari gol pembukaan namun peluang dimiliki S Kumaahran yang merembat bola dari jarak 30 meter sekadar melepasi palang gol.
Pelawat akhirnya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-75 selepas bola sepakan percuma Lee Chong-hoon dari jarak 25 meter menuju tepat ke penjuru kanan pintu gol menewaskan Rozaimi Rahamat.
Tuan rumah yang ketinggalan cuba bangkit memburu gol penyamaan namun usaha itu tidak membuahkan hasil dan terpaksa berputih mata tatkala tewas buat pertama kali dalam saingan liga.

Ulasan