NASIB berbeza dialami dua pasukan teratas Liga Super pada aksi malam tadi apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu melebarkan penguasaan di persada liga dengan kemenangan 2-0 ke atas Felda United sementara Pahang kecundang 0-2 kepada, PJ City FC.
Beraksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, JDT selaku pasukan pelawat membawa pulang tiga mata berharga untuk berdiri megah di kedudukan teratas dengan kelebihan lima mata meninggalkan Pahang menerusi dua gol dijaringkan pemain import dari Brazil, Diego Luis Santo pada minit ke-38 dan minit ke-61.
Kejayaan berkenaan menyaksikan JDT yang juga juara bertahan, mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus semakin selesa dalam misi memburu kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut.
Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Pahang akhirnya menerima kekalahan pertama musim ini selepas aksi longlai membolehkan PJ City FC mengutip kemenangan ketiga mereka.
Skuad ‘Tok Gajah’ seakan hilang taring apabila gagal menguasai perlawanan sebelum dikejutkan dengan gol pertama pasukan tuan rumah menerusi jaringan Pedro Henrique pada minit ke-30 sebelum Serginho Filho menambah derita Pahang dengan meledak gol kedua PJ City FC pada minit ke-61.
Ulasan
Catat Ulasan