'Biar kami siasat'


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil Mohd Zohri Tajuddin yang mengadili perlawanan antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum membuat sebarang tindakan.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan menghukum individu berkenaan tanpa mendapatkan keterangan kedua-dua pihak.
Katanya, beliau akan meneliti aduan yang diterima daripada wakil JDT sebelum melakukan perbincangan bersama bahagian undang-undang dan jawatankuasa pengadil untuk menentukan keputusan seterusnya.
“Kami ada terima aduan rasmi daripada pasukan JDT berkaitan insiden baru-baru ini, namun adalah lebih adil jika kami mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

STUART RAMALINGAM
Sebelum itu, Pengurus JDT, Luciano Figueroa meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap Mohd Zohri ketika anak buahnya menentang Pahang di Stadium Darul Makmur.
Beliau tidak puas hati dan mendakwa Mohd Zohri tersilap melayangkan kad merah kepada pemain JDT selain mengeluarkan kata-kata tidak elok kepada anak buahnya itu.
Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika diminta mengulas dakwaan Figueroa menegaskan, setiap pasukan perlu mengikut saluran yang sudah disediakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing.

Ulasan