PERJUANGAN GETIR MENANTI HARIMAU SELATAN PADA BULAN MEI 2019
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melalui beberapa perlawanan yang telah dijadualkan pada bulan Ramadhan yang bakal menjelang kelak. Barisan pemain JDT dilihat bersedia setelah dipersiapkan supaya akan terus fokus mengekalkan tahap kecergasan dan kekuatan mental.
1. JDT MENENTANG KASHIMA ANTLERS (STADIUM TAN SRI DATO' HAJI HASSAN YUNOS, LARKIN)
JDT akan membuka aksi pertama pada bulan Ramadhan dengan menentang kelab yang kini menduduki tangga kedua kumpulan E, Liga Juara-Juara AFC (ACL). Perlawanan yang dijadualkan pada 8 Mei 2019 akan dimulakan pada pukul 8.45 malam, menjadi antara cabaran getir yang perlu di hadapi oleh keseluruhan barisan pemain Harimau Selatan.
Namun begitu, pada perlawanan ini barisan pemain JDT akan turun dengan iltizam dan efikasi kendiri yang tinggi tanpa menghiraukan peluang dalam kelayakan ke peringkat seterusnya di Liga Juara-Juara AFC (ACL). JDT tetap akan mempamerkan permainan yang membanggakan disamping memberi tekanan kepada juara bertahan tersebut.
2. JDT MENENTANG PAHANG FA (STADIUM TAN SRI DATO' HAJI HASSAN YUNOS, LARKIN)
Sebaik sahaja tamat perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL), JDT bakal menghadapi tugas yang berat namun tidak sukar apabila bakal melayani pasukan pesaing dalam Liga Super Malaysia 2019 iaitu Pahang FA. Perlawanan yang dijadualkan pada Selasa, 14 Mei 2019 akan berlangsung sedikit lewat iaitu bermula pada pukul 10.00 malam.
Skuad Harimau Selatan perlu mengambil kesempatan beraksi di tempat sendiri disamping merebut peluang untuk mendapatkan kemenangan mutlak kelak. Pastinya perlawanan ini akan menjadi perlawanan tumpuan luar biasa bagi pemerhati, pengkritik dan penyokong Harimau Selatan.
3. JDT MENENTANG PKNS FC (STADIUM SHAH ALAM)
Hanya berselang beberapa hari, pada hari Jumaat 17 Mei, perlawanan keempat belas Liga Super Malaysia 2019 akan berlangsung. JDT akan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk bertemu kelab PKNS FC. Perlawanan ini penting bagi memastikan JDT terus menjarakkan diri dari kelompok pesaing teratas dalam perebutan kedudukan pertama carta Liga Super Malaysia.
4. JDT MENENTANG GYEONGNAM FC (CHANGWON FOOTBALL CENTER)
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan E bagi Liga Juara-Juara AFC (ACL) akan dijadualkan berlangsung pada Rabu, 22 Mei 2019. Barisan pemain JDT akan merasai perbezaan beraksi dalam bulan Ramadhan apabila bakal diterbangkan ke Korea Selatan.
Ketika perlawanan ini berlangsung, Ramadhan telah menjengah hari yang ke-17, maka sudah pastinya barisan pemain JDT sudah dapat membiasakan diri beraksi dengan keadaan berpuasa. Perjuangan mempertahankan maruah disamping semangat yang berkobar-kobar pastinya akan dijadikan pendorong buat Harimau Selatan untuk kekal agresif bagi terus memberi saingan sengit.
5. JDT MENENTANG KEDAH FA (STADIUM TAN SRI DATO' HAJI HASSAN YUNOS, LARKIN)
Sekembalinya dari Korea Selatan, pemain JDT hanya mendapat lebih kurang 3 hari untuk proses ‘refreshment dan reenergize’ sebelum meneruskan aksi seterusnya dalam Liga Super Malaysia 2019. Namun begitu, ia bukanlah suatu alasan buat pasukan.
Latihan intensif tetap diteruskan supaya keseluruhan barisan pemain dapat mengekalkan momentum tanpa merencatkan konsistensi. Pada hari Ahad, 26 Mei 2019, JDT bakal menyambut kedatangan pasukan Kedah FA pula bagi perlawanan Liga Super Malaysia 2019.
Selain perlawanan menentang Pahang FA, perlawanan ini juga dilihat menjadi perlawanan tumpuan kerana Kedah FA, juga antara pasukan yang diharapkan oleh segelintir pemerhati bola sepak tanah air untuk menewaskan JDT. Namun ianya bukan perkara mudah. JDT tidak mungkin memberi laluan mudah serta akan sedaya upaya mempertahankan kekebalan Stadium larkin.
Perlawanan ini juga merupakan perlawanan penutup bagi aksi pada bulan Ramadhan sebelum berehat hampir tiga minggu sebelum aksi liga disambung kembali.
Akhir kata, bagi meneruskan konsistensi tanpa menjejaskan fokus dan konsentrasi, diet pemakanan pemain pastinya akan sentiasa dikawal dan dipantau ketat oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan sepanjang bulan Ramadhan al Mubarak.
Kesimpulannya bulan Ramadhan tidak akan menjadi penghalang untuk skuad Merah Biru untuk terus mendominasi persaingan Liga Super Malaysia 2019.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
Ulasan
Catat Ulasan