REKOD tanpa kalah Johor Darul Ta'zim II (JDT II) akhirnya lebur selepas tewas tipis 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.
Walaupun tewas namun kedudukan JDT II di tangga teratas masih tidak tergugat selepas kekal dengan 24 mata manakala PDRM melonjak ke tangga ketujuh selepas mengumpul 12 mata.
Pengendali JDT II, Ervin Boban melakukan rombakan barisan pemain pada perlawanan itu apabila membariskan kelibat pemain tempatan tanpa mempertaruhkan barisan pemain import selepas Lucas Ontivero digantung satu perlawanan manakala Mohamad Ghaddar dan Bruno Soares mengalami kecederaan.
Peluang terbaik tuan rumah membuka tirai jaringan hadir pada minit ke-12 namun bola sepakan percuma D Saarvindran di luar kotak penalti tersasar.
Kemudian, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati tanpa bertindak mengancam ke kubu lawan masing-masing.
Pada babak kedua, tuan rumah bermula agresif mencari gol pembukaan namun peluang yang dimiliki S Kumaahran yang merembat bola dari jarak 30 meter sekadar melepasi palang gol.
Pelawat akhirnya berjaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-75 selepas bola sepakan percuma Lee Chong-hoon dari jarak 25 meter menuju tepat ke penjuru kanan pintu gol menewaskan penjaga gol, Rozaimi Rahamat.
Tuan rumah yang ketinggalan cuba bangkit memburu gol penyamaan namun usaha itu tidak membuahkan hasil dan terpaksa berputih mata tatkala tewas buat pertama kali dalam saingan liga.
Ulasan
Catat Ulasan