Pasangan suami isteri Jepun sokong Harimau Selatan...


SIAPA kata bola sepak di Malaysia tiada prestij?
Buktinya satu pasangan suami isteri dari Osaka Jepun sanggup terbang sejauh 5,000 kilometer ke Johor Bahru semata-mata untuk menonton aksi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kisah Yasu dan isterinya, Maki dikongsikan seorang pengguna Twitter, Juan Bapakaw yang kagum dengan semangat mereka yang jatuh cinta terhadap skuad Harimau Selatan.
Menurut Juan, pasangan dari Negara Matahari Terbit itu asalnya menyokong kelab di Division 4 Nara Club dan semakin jatuh cinta dengan pencapaian hebat JDT termasuk muncul pasukan pertama dari Malaysia beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun ini.
Katanya, segalanya bermula selepas Yasu dan isterinya menyaksikan perlawanan playoff ACL 2018 antara Gamba Osaka dan JDT di Stadium Suita City, Jepun.
"Penyokong di sana digelar Ancient Squad dan Yasu adalah seorang komrad yang aktif.
"Walau keputusan tidak berpihak kepada Skuad Harimau Selatan, namun malam itu Yasu dan Maki jatuh cinta pada JDT dan Boys of Straits.
"Pada 2017 juga mereka berdua terbang ke Johor tunaikan impian menyaksikan JDT julang Piala Liga Super Malaysia di Larkin.
"Tahun ini pula mereka berkesempatan lihat JDT beraksi di kejohanan tertinggi Asia (ACL)," katanya yang turut memuat naik gambar pasangan terbabit.
Kelibat pasangan ini bersorak turut dirakam televisyen malah difahamkan mereka juga terbang ke Korea Selatan menonton aksi JDT menentang Gyeongnam FC.
"Cukup terharu mendengar cerita bagaimana mereka berdua ini berkorban masa dan wang semata-mata untuk kelab yang 5,000 kilometer jauh dari tempat asal mereka.
"Kita selalu dengar cerita rakan yang sanggup bergadai ke Eropah tengok bola. Amat jarang kita dengar kisah seperti pasangan dari Jepun ini," katanya.
Tegas Juan, Yasu dan Maki adalah bukti budaya bola sepak Malaysia punya daya tarikan tersendiri dan berharap sikap itu dicontohi peminat tempatan. "Kalau orang luar boleh sehati dan sejiwa turun ke stadium untuk kelab yang bukan dari tanah kelahiran mereka, kenapa kita tidak boleh buat benda yang sama untuk kelab tempatan? Semoga pasangan suami isteri ini kekal bersama JDT utk selamanya," katanya.
Untuk rekod JDT muncul juara Liga Super lima kali berturut-turut dari 2014 hingga 2018 selain empat kali menjulang Piala Sumbangsih iaitu pada 2015, 2016, 2018 dan 2019.
Di peringkat Asia, kelab dimiliki Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini pernah menjuarai Piala AFC pada 2015.

Ulasan