PENGURUS Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa menepis tanggapan bahawa pasukan itu diambang mengecapi kejuaraan keenam berturut-turut Liga Super pada musim ini.
Sebaliknya bekas pemain import JDT itu menegaskan perjalanan saingan liga masih jauh dan JDT tidak boleh berada dalam keadaan selesa biarpun mengetepikan pencabar terdekat, Pahang 2-0 pada aksi liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Figueroa berkata, kesemua pasukan mula menunjukkan peningkatan sejurus memulakan kempen pusingan kedua dan beberapa keputusan mengejutkan tercipta dan sebagai contoh Terengganu tewas kepada Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 3-5, malam tadi.
"Ini membuktikan pasukan berada di pertengahan liga sudah mula garang dalam saingan liga dan kami tidak boleh pandang rendah keupayaan pasukan kelompok tengah dan bawah liga.
"Pasukan seperti Kedah, Selangor dan Perak sudah menunjukkan prestasi yang baik dan kami tidak boleh pandang rendah kepada mereka sebaliknya harus berwaspada dan memberi persembahan terbaik apabila menentang pasukan itu nanti," katanya.
Mengulas kemenangan yang dianggap penuh dramatik selepas terpaksa menanti sehingga minit ke-69 untuk mencipta gol menerusi kapten Hariss Harun dan gol kedua yang dijaringkan pemain gantian Akhyar Rashid untuki memastikan JDT menewaskan Pahang, Figueroa mengakui barisan pemainnya berdepan aksi yang cukup mendebarkan.
Katanya, walaupun menguasai perlawanan namun usaha untuk menjaringkan gol tampak begitu sukar apabila beberapa percubaan ke arah gol skuad kendalian Dollah Salleh gagal diterjemahkan dengan jaringan.
Beliau berkata, kelibat Diogo Luis Santo memainkan watak penting dalam kesebelasan utama walaupun tidak menjaringkan gol namun tugas pemain itu yang sentiasa mengawal bola dan membuka ruang kepada rakan sepasukan untuk menyusup masuk ke dalam kotak penalti lawan.
"Diogo seorang pemain yang bijak dan dia tahu untuk mengawal permainan tatkala beraksi selaku penyerang. Apabila bola berada di kakinya pemain lawan akan bertindak mengasari dan kami meraih sepakan percuma malah dia juga kerap beri tekanan buat benteng lawan.
"Percaturan saya memasukkan Akhyar beri kesan apabila dia memainkan peranan penting bagi kemenangan buat JDT selepas gol pertama bermula daripada gerakannya dan kemudian dia pula menjaringkan gol.
"Keseluruhan saya puas hati dengan persembahan setiap pemain yang memberi komitmen sepanjang lebih 90 minit perlawanan dan sekali lagi saya ingin katakan kami akan terus bekerja keras untuk memburu kemenangan dalam setiap aksi," kata Figueroa.
Ulasan
Catat Ulasan