Mungkin berbeza jika Nwakaeme ada...





PEMAIN pertahanan Pahang, Herold Goulon mengakui skuad itu tidak mempamerkan aksi terbaik ketika tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Bekas pemain skuad remaja kebangsaan Perancis itu berkata, keputusan itu sangat mengecewakan memandangkan skuad Tok gajah mengharapkan kemenangan bagi mengurangkan jurang mata dengan Harimau Selatan.
"JDT bermain dengan begitu baik dan kita (Pahang) tidak menemui rentak sejak awal permainan.
"Pemain cuba bangkit, bermain dengan lebih baik di babak kedua tetapi kesilapan memberi banyak ruang kepada tuan rumah bergerak menyebabkan gawang dibolosi dua kali.
"Kita beraksi teruk dan ia bukanlah corak permainan sebenar Pahang. Saya dan rakan sepasukan terpaksa akur dengan aksi mantap mereka (JDT) dan kita akan perbaiki kelemahan menjelang aksi seterusnya," katanya.
Ditanya mengenai ketiadaan Dickson Nwakaeme, Goulon tidak menafikan kehilangan khidmat pemain itu memberi kesan kepada jentera serangan Pahang.
"Keputusan mungkin berbeza jika Nwakaeme bersama kita dalam perlawanan itu.
Apa pun, kita akan fokus pada aksi menentang Perak Ahad ini," katanya.
Musim pertama bersama Tok Gajah, Goulon sudah menjaringkan empat gol, manakala Nwakaeme pula sudah meledak lima gol setakat ini.

Ulasan