Kes Akhyar, KFA serah bukti




MUHAMMAD Akhyar Abdul Rashid (kanan) ketika mewakili pasukan Kedah. - FOTO/Sharul Hafiz Zam






KUALA LUMPUR: Wakil Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersama pasukan peguam mereka hadir di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) petang tadi bagi menghadiri mesyuarat dengan Jawatankuasa Status FAM berkaitan isu perpindahan bekas pemain mereka, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
KFA diwakili Naib Presiden 1 Anas Hafiz Mustaffa dan Setiausaha Eksekutif Shahrul Samsudin manakala Jawatankuasa Status FAM diwakili pengerusinya Joehari Ayob. 
Aduan kes berkenaan ‘tapping up’ membabitkan Akhyar yang ketika itu masih mempunyai kontrak bersama KFA mendapat perhatian FAM dan pihak pengadu, KFA serta responden, JDT dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Status FAM dalam mendengar penjelasan kedua-dua pihak. Bagaimanapun JDT tidak menghantar wakil mereka.
Ia adalah langkah wajar dalam memastikan semua ruang untuk menuntut hak sebagai majikan (KFA) di peringkat tempatan diambil sebelum membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi ke Pusat Timbangtara Antarabangsa Asian (AIAC) atau Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).
“Dalam mesyuarat berkenaan, pihak KFA melalui peguam yang dilantik telah menyerahkan semua bahan bukti dan fakta berkaitan kepada Jawatankuasa Status FAM bagi dipertimbangkan sewajarnya aduan yang telah dibuat dalam merumuskan satu keputusan yang adil,” kata KFA dalam satu kenyataan.
“Walaupun menunggu berbulan-bulan selepas membuat laporan, menerima pelbagai reaksi dari pihak berkaitan terutamanya peminat bolasepak di Kedah dan Malaysia amnya, KFA tidak pernah culas dalam menegakkan kebenaran seperti yang diperjuangkan selama ini.
“Semoga kebenaran akan terungkai dan berpihak kepada KFA, InsyaAllah.”

Ulasan