JOHOR BAHRU: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mauricio Nascimento bertekad enggan mengulangi kesilapan lalu dan akan turun lebih berdisiplin apabila beraksi menentang Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Pengalaman pahit Mauricio yang dilayangkan kad merah ketika aksi menentang skuad kendalian Dollah Salleh di Stadium Darul Makmur, 28 April lalu sudah cukup memberi pengajaran buat dirinya supaya tidak lagi mengulangi kesilapan hingga merugikan seluruh pasukan.
Katanya, ia detik tidak boleh dilupakan apabila terpaksa melihat rakan sepasukan bertarung tanpa dirinya di padang sepanjang babak kedua, namun lega apabila keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan bersedia menebus kesilapan itu pada aksi di laman sendiri, malam esok.
"Apa yang berlaku sehingga saya dilayangkan kad merah sememangnya mimpi ngeri buat saya. Tidak dapat dinafikan betapa kecewa ketika melangkah keluar ke bilik persalinan selepas tidak dapat membantu rakan sepasukan yang beraksi tatkala mereka bermain dengan 10 pemain sahaja.
"Saya sudah melupakan detik hitam itu dan memberi sepenuh tumpuan bagi persiapan menentang Pahang dan saya anggap ia perlawanan `El Classico' tatkala JDT mahu menjarakkan kedudukan mata untuk kekal di tangga teratas, manakala Pahang pasti mahu mencalar rekod tanpa kalah kami.
"Kemenangan ke atas Kashima Antlers dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini menyuntik lagi semangat juang untuk terus memperaga aksi terbaik tatkala kami akan beraksi di laman sendiri dan keinginan memburu kemenangan begitu menebal," katanya.
JDT kini menghuni tangga teratas dengan kelebihan lima mata mengatasi pencabar terdekat, Pahang yang mengutip 25 mata selepas kedua-dua pasukan mengharungi 12 perlawanan dan skuad Harimau Selatan muncul satu-satu pasukan dalam saingan liga elit domestik mengekalkan rekod tanpa kalah.
Bagi Mauricio, kemenangan yang diburu mampu digapai menerusi keringat dan keberanian, malah persiapan yang rapi juga memainkan peranan untuk mencapai apa jua sasaran yang ingin dimiliki dan mengetepikan perasaan gemuruh sebaliknya memberi tumpuan lebih 100 peratus pada aksi malam esok.
Katanya, semangat berpasukan yang sudah lama dibentuk beri kesan kepada setiap pemain terutama kepada dirinya yang musim pertama bersama skuad Harimau Selatan dan pasti keinginan untuk membantu JDT menjuarai liga untuk musim keenam berturut-turut begitu membuak-buak.
"Saya sendiri mencabar diri untuk mencapai apa yang dihajati kerana tiada sesiapa yang akan membantu jika saya bersikap lemah dan tidak mahu berjaya.
"Justeru pertembungan menentang Pahang ibarat final bagi saya dan rakan sepasukan dan kemenangan akan membolehkan kami berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan liga," kata Mauricio.
Ulasan
Catat Ulasan