Langkau ke kandungan utama

Malaysia tak jauh di belakang Thailand

PATRICK Reichelt (kanan) ketika beraksi buat Melaka United dalam
PATRICK Reichelt (kanan) ketika beraksi buat Melaka United dalam saingan Liga Super musim ini.
KUALA LUMPUR 29 Mei- Pemain kebangsaan Filipina, Patrick Reichelt mengakui terkejut dengan perkembangan Liga Malaysia (Liga M) selepas lima bulan beraksi bersama Melaka United.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata, cara pengurusan Liga M oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) jelas menyerlahkan potensi yang ada untuk menjadi liga terbaik di rantau ini.
“Secara jujurnya, saya tidak mengikuti bola sepak Malaysia cuma mengetahui mengenai kelab JDT (Johor Darul Ta’zim) kerana saya pernah bertemu JDT ketika mewakili Ceres-Negros dalam Piala AFC.
“Tapi apabila bermain di sini, saya terkejut melihat liga ini diuruskan dengan baik. Penyiaran perlawanan secara langsung menerusi iflix di mana saya boleh melihat ulangan menerusi pelbagai sudut, ini bukan sahaja bagus untuk penyokong malah pemain juga,” katanya.
Reichelt yang kini dipanggil bagi tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Filipina juga pernah beraksi buat kelab Thailand, Singhtarua FC yang kini dikenali sebagai Port FC dari 2013 hingga 2014.
Pemain kelahiran Berlin, Jerman itu, berpendapat Liga Thailand adalah yang terbaik di Asia Tenggara ketika ini, namun dia percaya jurang antara L M tidak begitu jauh.
“Bukan mahu merendahkan Liga M, Indonesia atau Filipina tapi kita sedar bahawa Thailand berada di tahap lebih baik tapi saya percaya jika dibandingkan dengan Malaysia jurang itu tidak jauh.
“Malaysia ada potensi menjadi yang terbaik di rantau ini. Kamu mempunyai penyokong yang cukup hebat, dan saya baru beberapa bulan di sini tapi sudah bermain banyak stadium dan saya terkejut, stadium di Malaysia adalah bagus. Mungkin masih ada kelemahan tapi jika semua pasukan meningkat, Liga Malaysia juga akan terus maju,” katanya lagi.
Nama Reichelt kini menjadi sebutan penyokong Melaka apabila berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Liga Super dengan lapan gol bersama Diogo Santo dan Gonzalo Cabrera (JDT) serta Kpah Sherman (PKNS FC).
Katanya, dia ada sebab untuk menolak tawaran beberapa kelab Thailand dan menyertai Melaka di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan musim ini.
“Selepas tamat Piala AFF tahun lalu, ada beberapa pasukan berminat mendapatkan khidmat saya tapi saya dimaklumkan oleh ejen bahawa Melaka juga mahu menawarkan kontrak. Zainal sendiri berhubung dengan saya dan apabila ketua jurulatih sendiri yang bercakap dengan saya, itu membuatkan saya yakin untuk memilih Melaka.
“Saya gembira dengan prestasi setakat ini apabila sudah menjaringkan lapan gol. Sebenarnya saya bukanlah pakar dalam menjaringkan gol kerana saya jenis pemain yang lebih kepada mencipta peluang untuk rakan sepasukan. Jika melihat kepada gol yang saya hasilkan adalah atas faktor tuah dan juga bantuan rakan sepasukan.
“Apa pun pencapaian sebagai penjaring gol terbanyak ketika ini mencetuskan rasa semangat untuk membantu Melaka mengharungi baki saingan musim ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Ulasan