Langkau ke kandungan utama

Letak jawatan Presiden jika PKNP tersingkir dari Liga Super

PRESIDEN PKNP, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (kiri) bersama para pemain pada majlis berbuka puasa di
PRESIDEN PKNP, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (kiri) bersama para pemain pada majlis berbuka puasa di Ipoh semalam. - UTUSAN ONLINE
IPOH 28 Mei - Presiden pasukan PKNP, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin akan meletakan jawatan sekiranya pasukan itu tersingkir dari Liga Super musim depan.
Menurut Zainol, ia merupakan perkara yang serius kerana beliau enggan lagi menerima kekalahan setelah PKNP kini menghuni tangga kedua Liga Super.
“Cabaran letak jawatan ini serius, bukan main-main. Kalau malam ini PKNP jatuh (tersingkir dari Liga Super), esok saya letak jawatan.
“Masih ada tujuh perlawanan dan PKNP perlu menang beberapa perlawanan. Perbezaan mata juga tidak jauh dengan lain-lain pasukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Berbuka Puasa Bersama PKNP FC di Casuarina@Meru di sini semalam.
Ketika ini PKNP sekadar mengumpul 12 mata hasil tiga kemenangan, tiga seri dan tewas sembilan kali.
Ahad lalu, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim tewas 1-4 kepada Kuala Lumpur dalam aksi di Stadium Bola Sepak Cheras.
Menurut Zainol Fadzi, beliau serius berhubung keputusannya untuk melepaskan jawatan setelah pihak pengurusan memenuhi semua permintaan pasukan itu.
“Teguran sama turut ditujukan kepada skuad Piala Presiden dan Piala Belia PKNP FC yang bakal bersaing dalam liga masing-masing.
“Sesama mereka juga perlu tonjolkan kualiti permainan kerana hanya yang terbaik akan dipilih untuk beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun hadapan,” katanya.
PKNP berdepan laluan sukar apabila dijadualkan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan di tempat sendiri di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada 16 Jun depan. - UTUSAN ONLINE

Ulasan