ALOR SETAR : Kedah tidak akan lemah semangat menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super biarpun tanpa Baddrol Bakhtiar ketika kunjungan Lang Merah ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok.
Menurut Pengurus Pasukan Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan, walaupun skuad Kedah akan turun tanpa Baddrol yang menjalani penggantungan kad kuning pada perlawanan kali ini, semua rakan seperjuangannya tidak akan melunturkan semangat, sebaliknya mahu terus bekerja sebagai satu pasukan memburu tiga mata di Larkin.
"Pemain sudah bertekad bekerja sebagai satu pasukan dan mahu membuktikan semangat juang mencari kemenangan seperti yang diharapkan."
"Ketiadaan kapten Baddrol Bakhtiar memang akan dirasai tambahan pula dalam perlawanan menentang pasukan teratas liga seperti JDT, namun saya percaya semua pemain lain tetap fokus."
Dalam pada itu, Al Naliq menepis anggapan bahawa Kedah kini lebih memberi fokus kepada saingan Piala FA berbanding Liga Super memandangkan Kedah sudah ke peringkat separuh akhir musim ini.
"Memang kami memberi fokus dalam saingan Piala FA kerana atas kertas kami memiliki peluang yang cerah untuk ke peringkat akhir, namun kami juga tetap fokus dan berjuang berhabis-habisan untuk perlawanan liga untuk kekal di kelompok teratas.
Al-Naliq Hasmi juga berharap semua pemain skuad Lang Merah lebih berwaspada untuk aksi kali ini berbanding keputusan seri yang dicatatkan di Darul Aman hujung Mac lalu yang berkesudahan seri 1-1.
"Walaupun beraksi di tempat lawan, saya percaya kepada semua pemain yang akan dipilih oleh ketua jurulatih bersedia untuk memberi aksi terbaik mereka pada perlawanan menentang JDT kali ini." katanya.
Ulasan
Catat Ulasan