Langkau ke kandungan utama

Kata dua buat PKNP FC, kekal di Liga Super atau bubar pasukan

Zainol Fadzi Paharuddin bersalaman dan beramah mesra dengan para pemain kelab tersebut pada Majlis B

Zainol (baju kelabu) bersalaman dan beramah mesra dengan para pemain kelab tersebut pada Majlis Berbuka Puasa di Ipoh semalam.
IPOH – Cabaran getir buat pengurusan dan pemain Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) apabila Pengerusi PKNP, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi kata dua kepada mereka agar terus kekal di Liga Super atau bakal berhadapan nasib lebih buruk iaitu pembubaran pasukan pada musim hadapan.
Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, buat masa ini, komitmen sepenuhnya dituntut kepada barisan jurulatih dan para pemain untuk meningkatkan prestasi sekali gus mengutip seberapa banyak mata dalam saingan Liga Super supaya tidak diturunkan ke Liga Perdana tahun hadapan. 
“Kita hanya ada baki tujuh perlawanan sahaja untuk diharungi pada musim ini. Buatlah sesuatu dan bangkitlah agar kita kekal dalam saingan Liga Super. 

“Jika kita tidak menunjukkan usaha kita mampu mencabar pasukan lain pada musim ini, Pengerusi PKNP telah memberi bayangan akan membubarkan pasukan ini dan itu kita semua tidak mahu ia berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama pengurusan dan pemain PKNP FC di sini semalam. 
Tambah Zainol Fadzi, beliau selaku Presiden PKNP FC turut akan meletakkan jawatan sekiranya pasukan tersebut jatuh ke divisyen kedua Liga Malaysia itu. 
“Hari ini PKNP FC diumumkan jatuh daripada Liga Super, saya akan menghantar surat perletakan jawatan keesokannya.
“Ini bukan main-main dan saya telah memberikan segala apa yang pengurusan, jurulatih dan para pemain mahukan,” katanya. 
Nada sama turut diluahkan kepada skuad Presiden dan Belia PKNP FC yang perlu meningkatkan keupayaan pasukan dalam menghadapi saingan dalam liga masing-masing. 
PKNP FC kini berada di tangga kedua tercorot dengan mengumpul 12 mata selepas mengharungi 15 perlawanan Liga Super. 
Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim meluahkan beliau dan para pemain bersedia menyahut cabaran yang dilontarkan Presiden PKNP FC itu. 
“Ini merupakan perkara yang paling getir sepanjang kerjaya saya sebagai jurulatih. 
“Saya dan barisan jurulatih serta para pemain akan memikul tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan PKNP FC terus kekal bermain di Liga Super pada musim hadapan,” katanya. - K! ONLINE

Ulasan