JOHOR BAHRU: Juara bertahan, Kashima Antlers FC menganggap Johor Darul Ta'zim (JDT) pasukan sukar ditewaskan terutama apabila beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL), esok.
Ketua jurulatih, Go Iowa berkata, misi utama kelab dari Jepun itu ialah mencari kemenangan tetapi tidak boleh terlalu ghairah kerana JDT mampu melakar kejutan sekiranya pemainnya hanya tertumpu mencari jaringan sedangkan pasukan perlu seimbang sepanjang perlawanan.
Beliau berkata, ketika menang 2-1 ke atas skuad kendalian Benjamin Mora pada aksi pusingan pertama di Stadium Kashima pada 5 Mac lalu, persembahan JDT mengejutkan semua pihak hingga pemainnya terpaksa bertungkus-lumus melakar kemenangan.
"Jadi aksi malam esok penting bagi kami dan perlu menang jika mahu terus memburu slot ke pusingan seterusnya, saya tidak nafikan kita kena berwaspada dengan kebangkitan JDT yang mahu mencari kemenangan pertama dalam saingan ACL.
"Apa pun saya lega kerana tiada kecederaan serius dialami barisan pemain utama dan tidak berdepan masalah menurunkan kesebelasan utama dan misi kami ke Johor adalah mencari kemenangan serta perlu mengelak keputusan seri atau kalah.
"Sebalik mencari kemenangan, kami berdepan masalah menyesuaikan diri dengan cuaca yang panas malah ketika sesi latihan ringan, semalam, beberapa pemain mengadu mereka kepenatan apabila berlatih dalam cuaca panas," katanya.
Iowa berkata, walaupun perlu menempuh jadual padat dalam saingan Liga Jepun (Liga J) dan ACL, persiapan seimbang dilakukan secara tersusun bagi mengelak pemain berdepan faktor kepenatan hingga menjejaskan rentak permainan dalam kedua-dua saingan.
Sementara itu, pemain pertahanan Koki Anzai mengakui faktor cuaca mampu menjejaskan rentak permainan Kashima Antlers sambil menegaskan dalam tempoh singkat, perlu menyesuaikan diri dengan cuaca panas.
Katanya, faktor padang memainkan peranan dalam perlawanan itu tatkala padang di kelabnya berbeza berbanding sesi latihan di padang disediakan di Stadium Mini Tun Aminah, di sini.
"Bukan saja kami berdepan cuaca panas malah rumput padang di sini berbeza terutama lantunan bola agak sukar dikawal berbanding rumput padang di Jepun, ia menjejaskan kelancaran pergerakan bola.
"Apa pun kami tidak mahu menjadikan ia alasan kerana misi kami adalah untuk menang dan akan turun memburu apa yang diimpikan namun enggan berputih mata dalam perlawanan itu," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan